JOHOR BAHRU – Abang mangsa serangan anjing, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, 2, trauma selepas melihat adiknya diserang lima ekor anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Ibu mangsa, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata, anak sulung daripada tiga beradik berusia 12 tahun itu turut cuba menghalau anjing berkenaan ketika melihat adiknya diserang dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan emosi anaknya terganggu sehingga kini dan dia beberapa kali menangis apabila teringat semula kejadian tersebut.
Nur Wahyuni berkata, dia bersama suaminya, Mohamad Hamizi Hamdan, 37, ketika itu baru bergerak ke Johor Bahru untuk berniaga sebelum menerima panggilan daripada keluarga memaklumkan anak mereka diserang anjing.
“Saya dan suami keluar rumah jam 6.50 pagi dan menerima panggilan kira-kira jam 7.20 pagi. Saya terus berpatah balik.
“Saya cukup sedih sebab kejadian itu berlaku pada hari jadi saya,” katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khaled.
Menurutnya, dia dan suami masih belum dapat pulang ke Batu Pahat kerana perlu berada di sisi Nur Haira Wafiqah yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
“Bila saya telefon tanya, abang okey tak? Kakak (anak kedua) kata abang menangis.
“Mungkin bila dia hendak pejam mata pun, dia teringat kejadian itu. Saya di sini, dia di sana (Batu Pahat). Nak peluk pun tak boleh.
“Saya dengan suami pun sudah tak lalu makan, dia pun tak makan,” katanya.
Nur Wahyuni berkata, Nur Haira Wafiqah mengalami kecederaan serius terutama di bahagian kepala dan pipi, selain luka pada hampir seluruh badan.
Katanya, beberapa luka di bahagian belakang mangsa sudah dijahit selepas pembedahan pertama, manakala doktor masih memantau keadaannya sebelum meneruskan prosedur seterusnya.
Dalam pada itu, Mohamad Hamizi meminta orang ramai mendoakan keadaan kesihatan Nur Haira Wafiqah dan tidak berkongsi gambar keadaan anaknya ketika kejadian.
"Saya harap orang ramai dapat padam gambar kejadian di media sosial. Saya rasa pedih bila tengok gambar itu," ujarnya.






