
PETALING JAYA – Sebuah kereta Perodua Myvi mencuri perhatian pengguna media sosial selepas kenderaan itu dilihat terbalik di tengah jalan di Jalan Kuching menghala ke Selayang, pagi tadi.
Rakaman kejadian yang dikongsikan di Threads memaparkan sebuah Myvi berwarna kuning berada dalam keadaan terbalik dan menghalang sebahagian laluan, sekali gus menyebabkan kenderaan lain memperlahankan perjalanan ketika melalui lokasi berkenaan.
Perkongsian itu turut menarik perhatian ramai pengguna yang membuat pelbagai andaian mengenai bagaimana kemalangan tersebut berlaku.
Bagaimanapun, seorang individu menggunakan akaun Threads, @brotherlybig, tampil mendakwa dirinya merupakan pemandu Myvi terbabit dan menjelaskan bahawa kemalangan itu bukan berpunca daripadanya.
“Saya pemandu Myvi tu. Bukan salah saya. Tak perlulah nak komen ‘King buat hal ke apa. Dah hon dah.. tapi dia keluar juga,” katanya.
Individu berkenaan turut berkongsi rakaman kamera papan pemuka yang dipercayai merakam detik sebelum kejadian.
Berdasarkan rakaman tersebut, Myvi berkenaan dilihat bergerak di laluan paling kiri sebelum sebuah Perodua Axia dari lorong susur secara tiba-tiba memasuki lorong sebelum terlanggar tepi Myvi.
Pelanggaran itu menyebabkan kereta Myvi terbalik di atas lorong tengah sebelum menghalang laluan pengguna lain.
Di ruangan komen ramai yang baru mengetahui setelah melihat video rakaman kejadian sebenar selain mendoakan urusan pemilik Myvi dipermudahkan.
“Allahu bang baru tahu nilah punca dia bang. Semoga urusan abang dipermudahkan bang,” komen Amm.
“Geram plak tengok Axia tu. Lorong dia ada nak masuk lorong lain. Semoga pemilik dipermudahkan urusan,” komen Bad.
Terdahulu, pengguna Threads, @ammshar4ffi memuat naik rakaman keadaan Myvi terbabit untuk memaklumkan kepada pengguna jalan raya yang lain. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya pemandu Myvi tu, tapi bukan salah saya’ appeared first on Kosmo Online.

![[VIDEO] Anggota JPJ maut, empat cedera nahas tiga kenderaan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/5df2062f-21ef-45b4-b5f2-91f423eb05f7.jpeg)


