‘Saya perlu jaga isteri 24 jam sehari’

LocalHealth & Fitness
12 Oct 2026 • 8:35 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Saya perlu jaga isteri 24 jam sehari’

GUA MUSANG – Seorang bapa kepada enam anak yang tinggal di penempatan Orang Asli di Pos Gob, di sini, hilang punca pendapatan selepas terpaksa berhenti kerja bagi menjaga isterinya yang lumpuh sejak dua bulan lalu.

Hassan Angah, 49, berkata, isterinya, Andak Ahong, 37, pada awalnya mengalami sakit dan le­nguh pada tangan kanan selepas pulang dari bekerja di ladang.

Katanya, keadaan kesihatan isterinya semakin merosot sehingga akhirnya tidak mampu bergerak dan hanya terlantar.

“Sekarang seluruh badan sudah tidak boleh bergerak, malah duduk pun tidak boleh. Saya yang uruskan semuanya terma­suk memandikannya.

“Saya perlu menjaganya 24 jam sehingga tidak dapat bekerja dan kini hilang punca pendapatan,” katanya di rumah mereka di Pos Gob di sini kelmarin.

Menurutnya, keadaan itu turut memberi tekanan kepadanya kerana perlu menanggung enam anak yang berusia antara tiga hingga 18 tahun.

“Saya berharap pihak ber­kaitan dapat membantu menerusi bantuan bulanan kerana saya perlu menjaga isteri sepenuh masa dan tidak dapat bekerja seperti biasa.

“Buat masa ini, saya hanya mengharapkan bantuan Sumba­ngan Asas Rahmah dan Sumbangan Tunai Rahmah daripada kerajaan untuk menampung hi­dup kami,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya sudah menyerahkan borang permohonan bantuan penjaga pesakit terlantar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada Hassan.

Katanya, ia merupakan kes keempat yang dikenal pasti se­panjang pelaksanaan Kembara Rakyat Nenggiri di kawasan pe­dalaman.

Orang ramai yang ingin memberi bantuan boleh me­nya­lur­kan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasio­nal milik Andak bernombor 0399541100488560.

The post ‘Saya perlu jaga isteri 24 jam sehari’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved