
KUALA LUMPUR: “Saya datang mahkamah untuk bercakap benar. Saya tidak kira Tan Sri Muhyiddin menang atau kalah dalam kes ini, saya tidak peduli, yang penting saya bercakap benar, saya telah angkat sumpah.”
Kenyataan oleh saksi pendakwaan ke-27, Datuk Azman Yusoff itu mengundang sorakan daripada pengikut bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk dari pasukan peguam bela Ahli Parlimen Pagoh itu.
Keadaan juga panas apabila peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad berkeras untuk melihat catatan dan telefon bimbit saksi berkenaan yang didakwa terdapat jawapan yang telah diajar disebabkan Azman dilihat sering tunduk seperti membaca sesuatu sebelum menjawab soalan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin.
Situasi panas itu menyebabkan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin meminta kertas yang berada di hadapan saksi berkenaan untuk melihat catatan yang dibuat.
“Saya lihat dia (Azman) menulis. Ini jawapan dia terhadap soalan yang ditanya,” kata hakim itu selepas meneliti catatan yang dibuat oleh saksi berkenaan.
Kertas mengandungi catatan tersebut bagaimanapun tidak dipulangkan semula kepada saksi berkenaan sebelum soal semula oleh pendakwaan bersambung.
Terdahulu, Wan Shaharudin bertanya kepada mengenai borang aduan yang dibuat terhadap Azman yang mengandungi dakwaan bahawa saksi itu telah meminta rasuah.
Wan Shaharudin: Awak telah dirujuk dengan borang aduan dan awak tidak bersetuju dengan kandungan borang tersebut. Boleh jelaskan?
Azman: Saya rasa borang aduan itu fitnah. Saya raya itu satu fitnah terhadap saya. Saya datang mahkamah untuk bercakap perkara yang benar. Saya telah angkat sumpah dan bersumpah (untuk berkata benar).
Wan Shaharudin: Kenapa awak tidak bersetuju bahawa awak diberikan layanan istimewa (oleh SPRM)?
Azman: Yang Arif, apa yang peguam maksudkan dengan layanan istimewa? Adakah sebab saya tidak didakwa, tidak direman, itu satu layanan istimewa? Saya serahkan pada Yang Arif untuk tentukan.
Wan Shaharudin: Semasa dicadangkan oleh peguam, awak tidak bersetuju yang awak menjual nama Tan Sri Muhyiddin untuk dapatkan wang dari Nepturis. Kenapa awak tak setuju?
Azman: Saya taklah sejahat (mana), miskin hina (hingga) nak jual nama Tan Sri Muhyiddin, nak buat perkara-perkara begitu. Saya terhutang budi pada an Sri Muhyiddin yang bantu kontraktor-kontraktor sewaktu Covid.
Selain itu, Azman turut menafikan bahawa dia terlibat dengan rasuah kerana pada pendapatnya, individu yang meminta dan menerima rasuah adalah mereka yang mempunyai kuasa.
“Rasuah melibatkan org yang ada kuasa untuk meminta dan menerima. Org yang ada kuasa yang boleh meminta, saya tiada kuasa dalam hal ini dan saya bercakap benar. Yang ada kuasa, Perdana Menteri dan MOF (Kementerian Kewangan).
“Tugas saya (sebagai Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera) adalah untuk dengar keluhan dan beri nasihat tetapi saya tiada kuasa untuk dapatkan projek, meminta atau mencampuri urusan kerajaan kecuali apabila dipanggil untuk menyertai perbincangan,”katanya.
Ketika diminta untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya tidak membuat laporan polis terhadap Muhyiddin walaupun menyedari tindakan bekas Perdana Menteri itu meminta sumbangan adalah salah, saksi tersebut memberitahu, beliau sekadar mengikuti permintaan tertuduh.
“Saya firm (kekal) dengan apa yang Tan Sri Muhyiddin katakan (mengenai sumbangan) adalah permintaan Tan Sri Muhyiddin, jadi saya akur. Saya (juga) tak nak dituduh bersubahat dengan Tan Sri Muhyiddin,”katanya.
Saksi itu berkata demikian dalam perbicaraan kes Muhyiddin yang didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat antaranya Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Azman yang merupakan pengarah KCJ Engineering. Datuk Azman Yusoff.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Perbicaraan bersambung 14 September ini. –UTUSAN
The post Saya tak peduli Muhyiddin menang atau kalah, saya bercakap benar – Saksi appeared first on Utusan Malaysia.






