'Saya terduduk depan pakar, ingat dia malas ke tandas' - Anak Ako Mustapha trauma buli terkencing & terberak, tidur sekatil rasa selamat

Family & Parenting
11 May 2026 • 10:14 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Saya terduduk depan pakar, ingat dia malas ke tandas' - Anak Ako Mustapha trauma buli terkencing & terberak, tidur sekatil rasa selamat

BARU-baru ini kes buli melibatkan anak kepada pelakon Ako Mustapha sebagai mangsa meruntun hati warganet.

Isteri Ako, Kartina Shuaib menerusi video Gempak berkongsi khabar anaknya, Mika, 10, bertemu pakar psikiatri susulan buli dan lebih memilukan mengalami gejala buang air besar dan kecil tanpa sedar.

"Sejak Januari, dia berak dan kencing sendiri dalam seluar. Saya sebagai ibu pernah marah, ‘Mika, kenapa malas ke tandas?’

"Rupanya apabila diberitahu pakar psikiatri, anak saya mengalami trauma.

Image from: 'Saya terduduk depan pakar, ingat dia malas ke tandas' - Anak Ako Mustapha trauma buli terkencing & terberak, tidur sekatil rasa selamat

"Badannya mengalami trauma sehingga apabila ada perkara yang mencetuskan ketakutan, perkara itu akan berlaku setiap hari," kongsinya.

Menurut Kartina, dia yang mengetahui hal berkenaan ketika mengisi borang semasa Mika menerima rawatan terduduk sebak membayangkan penderitaan dihadapi anaknya selama ini.

"Saya membaca tanda-tanda yang dialami di rumah. Mimpi ngeri, buang air kecil dan besar dalam seluar.

"Saya terduduk depan pakar psikiatri dan seolah fikiran ini tidak dapat memproses hal itu. Ya ALLAH anakku, rupanya alami trauma dari Januari.

"Saya tidak tahu ia tanda trauma, saya ingat dia hanya malas ke tandas," luah Kartina dalam sebak.

Image from: 'Saya terduduk depan pakar, ingat dia malas ke tandas' - Anak Ako Mustapha trauma buli terkencing & terberak, tidur sekatil rasa selamat

Geram, marah dan sedih bercampur baur. Kartina mengakui sisi keibuannya sekali lagi tersentuh apabila berhadapan dengan ibu bapa kanak-kanak yang didakwa membuli anaknya.

"Semasa perjumpaan ibu bapa, saya terkejut kerana tidak ada seorang pun dalam kalangan ibu bapa pembuli berkenaan bertemu saya.

"Semuanya buat muka berlagak," tuturnya.

Dalam pada itu, katanya pakar yang merawat juga mendedahkan terdapat kesan fizikal pada Mika.

"Bukan saya yang kata anak saya trauma, ia disahkan oleh pakar.

"Pakar pediatrik juga beritahu ada kesan lebam pada belakang. Saya beritahu, "Doktor, saya tidak tahu benda ini," tutur Kartina menahan sebak.

Sementara itu, Ako memaklumkan Mika akan mengikuti dua sesi bersama pakar psikiatri di sebuah hospital di Kuala Lumpur manakala satu lagi pertemuan adalah bersama pakar daripada Bukit Aman.

“Pertemuan dengan pakar Bukit Aman amat penting kerana mereka mempunyai kepakaran khusus untuk menyoal siasat kanak-kanak. Cara orang dewasa bertanya kadang kala boleh menakutkan lagi mereka,” katanya.

Ako atau nama penuhnya Muhaizad Ahmad Mustapha juga mengakui kesan emosi dialami anaknya. Sebagai bapa, dia mahu anaknya selamat dan rasa dilindungi.

Image from: 'Saya terduduk depan pakar, ingat dia malas ke tandas' - Anak Ako Mustapha trauma buli terkencing & terberak, tidur sekatil rasa selamat

“Sebagai bapa, saya mahu dia rasa selamat. Disebabkan trauma ini, dia sering ketakutan.

“Malah setiap malam, dia akan tidur di atas katil bersama kami supaya dia rasa dipantau dan dilindungi,” ujarnya.

Menurut Ako, siasatan kes berkenaan sedang berjalan dan memerlukan masa kerana melibatkan banyak pihak.

“Siasatan masih berjalan. Pegawai penyiasat memaklumkan kes akan mengambil masa kerana bukan sahaja kanak-kanak terlibat yang disiasat, ibu bapa, doktor dan guru besar dipanggil bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian,” ujarnya lagi.

Terdahulu, kisah Mika mula mendapat perhatian ramai selepas Ako mendedahkan anaknya itu menjadi mangsa buli sejak setahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini pembuli hanya merosakkan barangan milik Mika. Bagaimanapun, ia semakin serius sehingga menjejaskan emosi dan keinginan anaknya untuk hadir ke sekolah.

Pada 23 April lalu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman turut mengesahkan kertas siasatan berhubung kejadian tersebut telah dibuka mengikut prosedur sedia ada.

Terdahulu, Ako menerusi laman sosial Thread memaklumkan kejadian buli Mika yang membabitkan lima murid iaitu dua senior dan tiga rakan sekelas.

Sumber: Instagram, Gempak