‘Saya Terima Apa Sahaja Keputusan PH Pusat’ - Aminuddin

LocalPolitics
29 Apr 2026 • 5:22 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

‘Saya Terima Apa Sahaja Keputusan PH Pusat’ - Aminuddin

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memberi jaminan akan mematuhi sebarang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) mengenai kedudukannya sebagai teraju kepimpinan negeri itu.

Tegas Aminuddin, beliau sentiasa terbuka kepada sebarang keputusan yang dibuat bagi memastikan krisis politik yang berlaku dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

"Saya serahkan kepada kepimpinan parti. Saya ada presiden, pengerusi PH, sebarang perbincangan mengenai jawatan sebagai Menteri Besar, saya setuju… tiada masalah. Negeri Sembilan sentiasa terbuka, kami bersetuju dengan keputusan kepimpinan kami.

"DAP sama, Amanah pun sama," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco negeri di Seremban, hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri keenam-enam ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri PH, selepas empat Exco kerajaan negeri UMNO mengosongkan jawatan mereka susulan penarikan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar.

Aminuddin berkata, ketiadaan empat Exco tidak menjejaskan pentadbiran negeri, dan pengisian kekosongan itu berkemungkinan akan selesai minggu depan.

"Ia tidak menimbulkan sebarang masalah untuk kami meneruskan program kerajaan.

“Kita juga mempunyai Program Hari Belia Negara, dan saya telah meminta semua Exco yang ada untuk membantu," katanya.

Aminuddin berkata mesyuarat Exco hari ini tidak membincangkan kekosongan jawatan berkenaan, sebaliknya hanya tertumpu kepada hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri.

Kemelut politik di Negeri Sembilan meletus apabila Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pertang, mengumumkan bahawa 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN)-UMNO telah menarik semula sokongan diberikan ke atas kerajaan negeri dan Menteri Besar Isnin lalu.

Jalaluddin dilaporkan berkata, tindakan itu diambil susulan rasa tidak puas hati terhadap isu berkaitan institusi adat dan perlembagaan negeri, yang didakwa menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri dan kestabilan politik di peringkat negeri. – Getaran, 29 April 2026

View Original Article