
SEREMBAN – Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menjelaskan ketidakhadirannya pada Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti semalam kerana menerima notis pada pukul 4.50 pagi.
Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang itu berkata, beliau hanya sempat membaca notis yang dihantar daripada pihak protokol selepas subuh selain mempunyai program yang telah dijadualkan lebih awal.
“Saya terima notis pada pukul 4.50 pagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ketidakhadirannya pada Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah semalam.
Kosmo! semalam melaporkan terdapat beberapa kerusi yang dikhaskan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak dipenuhi termasuk Jalaluddin yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pada istiadat semalam, ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar selepas gabungan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional berjaya mendapat majoriti dua pertiga iaitu 25 daripada 36 DUN yang dipertandingkan. – KOSMO! ONLINE
The post Saya terima notis angkat sumpah MB pukul 4.50 pagi – Jalaluddin appeared first on Kosmo Digital.






