
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak berhasrat menangguhkan atau menghalang sebarang siasatan dan pendakwaan terhadap mana-mana pihak, termasuk membabitkan isu kerugian pelaburan Felda dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Beliau berkata, tempoh siasatan bergantung kepada kerumitan sesuatu kes dan kecekapan badan penguat kuasa, terutama bagi kes yang memerlukan penelitian terperinci sebelum tindakan pendakwaan dapat dilakukan.
“Saya tidak berhasrat dengan kuasa yang ada untuk menangguhkan ataupun mengelak daripada siasatan terus terbuka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Fadhli sebelum itu mempersoalkan tindakan pendakwaan yang dibuat sekarang contohnya berhubung isu Felda dan TH, sedangkan beberapa perkara dibangkitkan didakwa berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Beliau turut membangkitkan persepsi bahawa tindakan pendakwaan berkenaan dibuat ketika berlaku keretakan dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan, selain mempersoalkan tindakan terhadap isu pelaburan seperti My E.G Sdn. Bhd., Zetrix AI Berhad dan kerugian yang didakwa melibatkan dana berkaitan kerajaan.
Menjawab perkara itu, Anwar berkata, siasatan tidak boleh dianggap sengaja dilengahkan hanya kerana tindakan pendakwaan dibuat selepas beberapa tahun sesuatu isu dibangkitkan.
Menurut beliau, isu Felda telah melalui beberapa peringkat penelitian, termasuk penubuhan pasukan petugas khas yang mengambil masa kira-kira setahun sebelum kertas siasatan dibuka.
Beliau berkata, kertas putih mengenai isu berkenaan telah dibentangkan pada 2019, manakala tindakan lanjut mula digerakkan selepas kerajaan mengambil alih pentadbiran pada 2022.
Anwar turut menjelaskan bahawa kertas siasatan bagi sesetengah kes perlu dirujuk berulang kali kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian dan penambahbaikan sebelum keputusan lanjut dibuat.
“Itu sampai tiga ke empat kali, atau kalau Jabatan Peguam Negara kata ada kelompongan di sini, patah balik. Yang penting, apakah kita setuju tindakan diambil untuk mengelak daripada kecurangan itu terus berlaku?
“Jawapannya tegas. Saya tidak berhasrat dengan kuasa yang ada, untuk menangguhkan ataupun mengelak daripada siasatan terus terbuka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui proses berkenaan boleh mengambil masa yang panjang, namun menegaskan kerajaan tidak pernah mengeluarkan arahan supaya sesuatu siasatan dihentikan.
“Apakah ada arahan supaya siasatan diteruskan? Ada. Apakah ada arahan menutup siasatan? Tidak ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Saya tidak hasrat tangguh, halang siasatan babit Felda, TH appeared first on Kosmo Online.






