'Saya tidak seronok, tidak gembira tinggal bersama ibu Zara Qairina'

6 Oct 2026 • 11:12 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya tidak seronok, tidak gembira tinggal bersama ibu Zara Qairina'
Prosiding inkues kematian Zara Qairina bersambung semula di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Selasa dengan mendengar keterangan kakak tiri Allahyarham, Malianah yang merupakan saksi ke-81.

KOTA KINABALU - Saksi ke-81 memberitahu mahkamah bahawa dia tidak seronok dan tidak gembira sepanjang tujuh bulan tinggal bersama ibu tirinya iaitu ibu Zara Qairina Mahathir.

Malianah berkata, dia tinggal bersama Noraidah Lamat sejak tahun 2011 sehingga Jun 2012.

"Sepanjang saya tinggal bersama ibu tiri saya, ibu tiri saya pandai berpura-pura. Apabila bapa saya berada di rumah, ibu tiri saya akan baik dengan saya.

"Namun apabila bapa saya mula keluar bekerja sebagai pemandu, ibu tiri saya akan mula berubah dan tidak suka akan saya," katanya semasa membacakan kenyataan saksi di Mahkamah Koroner, di sini pada Selasa.

Marlianah turut menceritakan kejadian semasa dia di Tahun Lima ketika tinggal bersama Noraidah.

"Bapa saya telah berpesan kepada ibu tiri saya untuk mengambil saya selepas habis sekolah lebih kurang jam 11 pagi. Walaubagaimanapun, ibu tiri saya tidak datang untuk mengambil saya sehingga petang dan saya telah dihantar pulang oleh seorang pak cik ke rumah kami.

"Apabila saya sampai di rumah, saya melihat ibu tiri saya sedang berbaring sambil membaca novel. Apabila melihat saya, dia hanya sambung membaca novel. Dia tidak kelihatan risau dengan keselamatan saya yang hanya berada di Darjah Lima pada masa itu dan tidak peduli akan pesanan bapa saya.

"Apabila saya tiba lewat di rumah, saya sudah berada dalam keadaan penat dan sudah lambat untuk ke sekolah KAFA dan saya tidak larat untuk ke sekolah KAFA. Saya pun mengambil keputusan untuk tidak ke sekolah.

"Pada malamnya, ibu tiri saya akan memberitahu bapa saya bahawa saya malas ke sekolah KAFA dan telah ponteng. Saya kemudiannya dimarahi oleh bapa saya kerana ibu tiri saya bercakap seperti itu sedangkan saya hanya penat kerana tidak diambil oleh ibu tiri saya. Ini bukan yang saya sengajakan," katanya.

Tambah Malianah, ibu tirinya juga hanya akan memasak untuk dirinya sahaja apabila bapa tidak berada di rumah.

"Saya terpaksa memasak sendiri, mencuci baju sendiri termasuk baju sekolah serta menyiapkan kelengkapan sekolah saya sendiri.

"Namun, apabila bapa saya berada di rumah, ibu tiri saya akan tolong saya membuat semua perkara tersebut termasuklah mengajar saya membuat kerja sekolah. Ibu tiri saya akan berpura-pura berlakon untuk menunjukkan dirinya suka saya.

"Ibu tiri saya juga suka menggunakan kata makian dan berbahasa kasar seperti 'Bodoh kau ini', 'Kau bodoh! Sebab itu lah mama bapa kau tidak jaga kau!', 'Abah kau jarang balik rumah sebab tidak suka kau'. Ibu tiri saya juga sering memberitahu saya bahawa ibu kandung saya tidak mahu menjaga saya sebab ibu kandung saya mahu 'enjoy' dan ada lelaki lain.

"Sepanjang saya tinggal bersama ibu tiri saya, saya mengalami tekanan perasaan akibat sikap dan percakapan ibu tiri saya. Pada masa itu, saya masih budak sekolah rendah namun saya telah dilayan seperti itu. Saya tidak tahan dan meminta bapa saya menghantar saya balik ke rumah ibu kandung," katanya.

Lagi artikel berkaitan:

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved