KUANTAN – Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah mengesahkan khidmatnya sebagai Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang telah ditamatkan.
Menurut beliau, surat penamatan jawatan daripada Pejabat Presiden Bersatu itu hanya diterima pada Selasa lalu.
"Betul, saya ada terima surat pada 7 April tetapi dalam surat itu dinyatakan penamatan khidmat berkuat kuasa (sejak) 10 Mac.
"Saya agak pelik kerana lewat diterima, tetapi saya tidak terkejut dan menerima keputusan ini dengan hati terbuka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Abdul Khalib memberitahu, meskipun tidak lagi memegang jawatan utama parti di peringkat negeri, beliau tetap akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian Rompin.
Jelasnya, penamatan itu memberi ruang kepadanya untuk memberi tumpuan penuh kepada tugas di kawasan tanpa terlalu terikat dengan urusan mesyuarat di peringkat pusat.
“Sekarang saya boleh fokus kerja di bahagian dan banyak perkara yang mahu saya laksanakan di kawasan saya.
"Selepas ini tak perlulah saya kerap ke Kuala Lumpur lagi untuk mesyuarat,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai statusnya, Abdul Khalib menjelaskan penamatan itu hanya melibatkan jawatan di peringkat negeri, namun beliau masih kekal sebagai ahli parti itu.
“Saya masih ahli Bersatu selagi tidak dipecat dan ini ini hanya penamatan khidmat Ketua Badan Pimpinan Negeri sahaja,” katanya.
Ditanya sama ada kekosongan jawatan itu sudah diisi oleh pemimpin Bersatu Pahang yang lain, beliau memaklumkan tidak mempunyai maklumat berkaitan hal itu.
"Buat masa sekarang rasanya belum ada lantikan lagi tapi mungkin di sini oleh salah seorang daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga Majlis Pimpinan Tertinggi MPT.
"Kita tunggu dan tengoklah pihak pusat putuskan macam mana,” jelas beliau lagi.
Abdul Khalib dilantik sebagai Ketua Bersatu Pahang pada Febuari 2025 bagi menggantikan ahli parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN Pahang pada 11 Januari lalu.
Selain Abdul Khalib, Bersatu mempunyai dua wakil rakyat di Pahang iaitu ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus.
Habis#






