'Saya trauma 47 hari sesat, sudah 11 tahun tidak masuk hutan'

10 Jun 2026 • 10:14 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya trauma 47 hari sesat, sudah 11 tahun tidak masuk hutan'
Miksudiar Aluj, 22, hilang selama 47 hari di hutan Bertam berhampiran Pos Tohoi, Gua Musang pada 2015.
Image from: 'Saya trauma 47 hari sesat, sudah 11 tahun tidak masuk hutan'
Mirsudiar ditemui dalam keadaan selamat namun lemah di Sungai Emas pada 29 Oktober 2015. Foto fail Bernama
Image from: 'Saya trauma 47 hari sesat, sudah 11 tahun tidak masuk hutan'
Sudah 11 tahun Miksudiar tidak masuk hutan selepas 47 hari sesat dan traumanya masih dirasai sehingga kini.

KOTA BHARU - "Trauma sesat dalam hutan selama 47 hari masih segar dalam ingatan saya dan sehingga sekarang sudah 11 tahun tidak masuk hutan."

Demikian cerita Miksudiar Aluj, 22, yang hilang di hutan Bertam berhampiran Pos Tohoi, Gua Musang pada 2015.

Miksudiar yang ketika itu berusia 11 tahun dan rakannya, Norieen Yaakob berusia 10 tahun, ditemukan selamat, manakala lima lagi rakannya meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.

**media[3546197]**

Menurut anak kelima daripada lapan beradik itu, ketakutan yang dirasai sehingga kini masih menghantuinya apabila dia hanya menetap di Kampung Gawin, dekat Pos Gob, Gua Musang dan tidak keluar ke mana-mana.

Dia yang belum berkahwin itu kini bekerja menanam sayur bersama keluarga.

"Sehingga hari ini saya masih bermimpi tentang kejadian itu.

"Kalau boleh saya ingin melupakannya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menceritakan kembali peristiwa hitam 11 tahun lalu itu, Miksudiar memberitahu, dia ada mendengar suara-suara orang yang mencarinya namun mereka tidak kelihatan.

Ujarnya, sepanjang 47 hari itu dia dan rakannya langsung tidak melihat kelibat pasukan keselamatan atau orang kampung yang mencari mereka, hanya dikelilingi pokok-pokok dalam hutan.

**media[3546208]**

"Kami hanya makan daun, buah hutan sepanjang menyorok di kawasan sungai dan sesekali keluar apabila terasa lapar," katanya.

Dalam kejadian berkenaan Miksudiar ditemukan dalam keadaan mengalami kekurangan zat makanan yang serius, kehilangan berat badan dan trauma emosi.

Sehingga menyebabkan dia menerima rawatan perubatan dan kaunseling di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Dalam perkembangan sama, Miksudiar memberitahu sehingga hari ini dia tidak pernah bercerita mengenai kejadian terbabit walaupun beberapa kali berjumpa Norieen.

"Saya tidak mahu kenang peritiswa itu, lagipun kami sudah selamat dan bahagia dengan kehidupan sekarang.

"Norieen sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak," katanya.

Kisah kehilangan Miksudiar, Norieen bersama lima rakan mereka yang terkorban bermula pada 23 Ogos 2015 apabila tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi melarikan diri daripada asrama untuk mengelak dihukum selepas mandi di sungai berdekatan sekolah tanpa kebenaran guru.

Kehilangan yang bertukar menjadi tragedi itu menggemparkan seluruh negara apabila hari berganti minggu tanpa sebarang khabar berita mengenai nasib mereka.

Ketua Polis Kelantan ketika itu, Datuk Mazlan Lazim menyatakan kedua-dua mangsa yang selamat ditemui kira-kira 3.3 kilometer daripada pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12.15 tengah hari, ketika mereka berlindung di bawah akar pokok yang bergantungan di tebing Sungai Perias.

Lima rakan mereka yang turut hilang iaitu Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Sasa Sobrie, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina David, 7, ditemui meninggal dunia di dalam hutan.