
TENTU ramai di antara kita yang masih ingat tragedi menimpa murid tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang. Insiden yang berlaku pada Ogos 2015 itu antara kisah paling menyayat hati.
47 hari berada dalam hutan. Kelaparan. Ketakutan. Salah seorang mangsa yang terselamat, Miksudiar Aluj, 22 mengakui biarpun sedekad berlalu, dia masih trauma.
"Ketakutan itu masih segar. Selepas 47 hari sesat di dalam hutan, sudah 11 tahun saya tidak pernah menjejakkan kaki ke sana lagi," kongsinya.
Miksudiar yang ketika kejadian baru berusia 11 tahun, ditemui selamat bersama rakannya, Norieen Yaakob, 10. Bagaimanapun, tragedi hitam itu turut mengorbankan lima lagi rakan mereka yang lain.

Menyingkap sisa trauma yang berbaki, anak kelima daripada lapan beradik itu mengakui kehidupannya kini lebih banyak dihabiskan di Kampung Gawin, berdekatan Pos Gob, Gua Musang kerana enggan keluar ke mana-mana.
Dia yang kini bekerja menanam sayur bersama keluarganya mendedahkan, memori duka itu sukar dipadam daripada kotak ingatan.
"Sehingga hari ini, peristiwa itu masih datang dalam mimpi. Kalau boleh, saya mahu padam terus ingatan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Misteri 'suara tanpa kelibat'
Mengimbas kembali sejarah hitam 11 tahun lalu, Miksudiar berkongsi satu perkara misteri yang dialaminya sepanjang tempoh pencarian.
Katanya, dia ada mendengar suara-suara individu yang melaungkan nama mereka, namun anehnya, kelibat manusia langsung tidak kelihatan.

Sepanjang 47 hari itu, mereka berdua hanya dikelilingi belantara tebal tanpa pernah nampak pasukan penyelamat mahupun orang kampung.
"Kami hanya bertahan hidup dengan memakan daun dan buah-buahan hutan. Kebanyakannya kami menyorok di kawasan sungai dan hanya keluar apabila perut terlalu lapar," ceritanya lagi.
Ketika mula-mula ditemui dahulu, Miksudiar berada dalam keadaan yang sangat menyayat hati.
Badannya susut ekstrem menggambarkan kekurangan zat makanan yang kronik dan trauma emosi yang parah sehingga menerima rawatan intensif dan kaunseling di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Buka buku baharu
Daripada tujuh orang yang hilang, hanya Miksudiar dan rakannya Norieen bertahan hidup selepas 47 hari.

Berkongsi pengalaman menggerunkan, Miksudiar mendedahkan bahawa mereka berdua mengambil keputusan untuk tidak lagi mengungkit atau berbual tentang kisah silam itu biarpun kerap bertemu dengan Norieen,
"Kami tak mahu kenang lagi perkara yang sudah lepas. Alhamdulillah, kami berdua selamat dan bahagia dengan kehidupan sekarang. Norieen pun sudah berkeluarga dan mempunyai seorang cahaya mata," katanya.
Kronologi Ringkas Tragedi SK Tohoi (2015)
Pada 23 Ogos 2015, tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi bertindak melarikan diri dari asrama kerana takut dihukum guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.
Kehilangan mereka mencetuskan operasi mencari dan menyelamat berskala besar.
Ketua Polis Kelantan ketika itu, Datuk Mazlan Lazim mengesahkan Miksudiar dan Norieen ditemui selamat pada jam 12.15 tengah hari di bawah akar pokok di tebing Sungai Perias iaitu kira-kira 3.3 kilometer dari pos operasi,
Lima lagi rakan mereka iaitu Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Sasa Sobrie, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina David, 7 ditemui meninggal dunia di dalam hutan.
Sumber: Sinar Harian




