KOTA BHARU – "Saya ada dengar suara orang yang mencari kami, tetapi tidak nampak mereka."
Demikian antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh Miksudiar Aluj, 22, ketika tersesat selama 47 hari di hutan Bertam berhampiran Pos Tohoi, Gua Musang pada 2015.
Menceritakan kembali detik hitam yang berlaku 11 tahun lalu itu, Miksudiar berkata, dia dan rakannya, Norieen Yaakob, ada mendengar suara-suara orang yang mencarinya, namun tidak dapat melihat kelibat mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya trauma 47 hari sesat, sudah 11 tahun tidak masuk hutan'
**media[3546238]**
Menurutnya, sepanjang tempoh kehilangan itu, mereka langsung tidak melihat pasukan keselamatan atau penduduk kampung yang menjalankan operasi pencarian.
"Sepanjang 47 hari itu, kami langsung tidak melihat kelibat pasukan keselamatan atau orang kampung yang mencari kami, hanya dikelilingi pokok-pokok dalam hutan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Miksudiar berkata, trauma sesat dalam hutan selama 47 hari masih segar dalam ingatannya sehingga menyebabkan dia tidak lagi memasuki hutan sejak ditemukan selamat.
"Trauma sesat dalam hutan selama 47 hari masih segar dalam ingatan saya dan sehingga sekarang sudah 11 tahun tidak masuk hutan.
**media[3546246]**
"Kalau boleh saya ingin melupakannya," katanya.
Menurut anak kelima daripada lapan beradik itu, dia kini menetap di Kampung Gawin, dekat Pos Gob, Gua Musang dan bekerja menanam sayur bersama keluarganya.
Beliau berkata, kejadian itu masih menghantuinya sehingga kini.
"Sehingga hari ini saya masih bermimpi tentang kejadian itu," ujarnya.
Dalam tragedi berkenaan, Miksudiar yang ketika itu berusia 11 tahun dan Norieen yang berusia 10 tahun ditemukan selamat, manakala lima lagi rakan mereka meninggal dunia.
Katanya, sepanjang berada di dalam hutan, mereka hanya makan daun dan buah hutan.
"Kami hanya makan daun, buah hutan sepanjang menyorok di kawasan sungai dan sesekali keluar apabila terasa lapar," katanya.
**media[3546239]**
Dalam kejadian itu, Miksudiar ditemukan dalam keadaan mengalami kekurangan zat makanan yang serius, kehilangan berat badan dan trauma emosi.
Keadaan tersebut menyebabkan beliau menerima rawatan perubatan dan kaunseling di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Dalam perkembangan sama, Miksudiar berkata, sehingga hari ini dia tidak pernah bercerita mengenai kejadian itu walaupun beberapa kali berjumpa Norieen.
"Saya tidak mahu kenang peristiwa itu, lagipun kami sudah selamat dan bahagia dengan kehidupan sekarang.
"Norieen sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak," katanya.
Kisah kehilangan Miksudiar, Norieen bersama lima rakan mereka yang terkorban bermula pada 23 Ogos 2015 apabila tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi melarikan diri dari asrama untuk mengelak dihukum selepas mandi di sungai berdekatan sekolah tanpa kebenaran guru.
Kehilangan yang bertukar menjadi tragedi itu menggemparkan seluruh negara apabila hari berganti minggu tanpa sebarang khabar berita mengenai nasib mereka.
Ketua Polis Kelantan ketika itu, Datuk Mazlan Lazim berkata, kedua-dua mangsa yang selamat ditemukan kira-kira 3.3 kilometer dari pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12.15 tengah hari ketika berlindung di bawah akar pokok yang bergantungan di tebing Sungai Perias.
Lima rakan mereka yang turut hilang iaitu Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Sasa Sobrie, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina David, 7, ditemukan meninggal dunia di dalam hutan.




