KOTA BHARU – "Kami hanya makan daun dan buah hutan sepanjang menyorok di kawasan sungai dan sesekali keluar apabila terasa lapar."
Demikian pengalaman getir yang dilalui Miksudiar Aluj, 22, ketika tersesat selama 47 hari di hutan Bertam berhampiran Pos Tohoi, Gua Musang pada 2015.
Miksudiar yang ketika itu berusia 11 tahun ditemukan selamat bersama rakannya, Norieen Yaakob yang berusia 10 tahun, manakala lima lagi rakan mereka meninggal dunia dalam tragedi berkenaan.
**media[3546339]**
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya trauma 47 hari sesat, sudah 11 tahun tidak masuk hutan'
Sesat 47 hari dalam hutan: 'Saya dengar suara orang mencari, tapi langsung tak nampak'
Menurut anak kelima daripada lapan beradik itu, pengalaman hidup dalam hutan dengan hanya bergantung kepada sumber makanan yang ditemui di sekeliling menjadi antara perkara yang masih diingatinya sehingga kini.
"Trauma sesat dalam hutan selama 47 hari masih segar dalam ingatan saya dan sehingga sekarang sudah 11 tahun tidak masuk hutan.
"Sehingga hari ini saya masih bermimpi tentang kejadian itu.
"Kalau boleh saya ingin melupakannya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menceritakan kembali peristiwa hitam 11 tahun lalu itu, Miksudiar berkata, dia ada mendengar suara-suara orang yang mencarinya namun mereka tidak kelihatan.
**media[3546340]**
Menurutnya, sepanjang 47 hari itu dia dan rakannya langsung tidak melihat kelibat pasukan keselamatan atau orang kampung yang mencari mereka, sebaliknya hanya dikelilingi pokok-pokok dalam hutan.
"Kami hanya makan daun dan buah hutan sepanjang menyorok di kawasan sungai dan sesekali keluar apabila terasa lapar," katanya.
Dalam kejadian berkenaan, Miksudiar ditemukan dalam keadaan mengalami kekurangan zat makanan yang serius, kehilangan berat badan dan trauma emosi.
Keadaan itu menyebabkan dia menerima rawatan perubatan dan kaunseling di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Kini, Miksudiar menetap di Kampung Gawin dekat Pos Gob, Gua Musang dan bekerja menanam sayur bersama keluarganya.
Beliau berkata, sehingga hari ini dia tidak pernah bercerita mengenai kejadian terbabit walaupun beberapa kali berjumpa Norieen.
"Saya tidak mahu kenang peristiwa itu, lagipun kami sudah selamat dan bahagia dengan kehidupan sekarang.
"Norieen sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak," katanya.
**media[3546341]**
Kisah kehilangan Miksudiar, Norieen bersama lima rakan mereka yang terkorban bermula pada 23 Ogos 2015 apabila tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi melarikan diri dari asrama untuk mengelak dihukum selepas mandi di sungai berdekatan sekolah tanpa kebenaran guru.
Kehilangan yang bertukar menjadi tragedi itu menggemparkan seluruh negara apabila hari berganti minggu tanpa sebarang khabar berita mengenai nasib mereka.
Ketua Polis Kelantan ketika itu, Datuk Mazlan Lazim berkata, kedua-dua mangsa yang selamat ditemukan kira-kira 3.3 kilometer dari pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12.15 tengah hari ketika berlindung di bawah akar pokok yang bergantungan di tebing Sungai Perias.
Lima rakan mereka yang turut hilang iaitu Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Sasa Sobrie, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina David, 7, ditemukan meninggal dunia di dalam hutan.






