SC dakwa bekas perunding unit amanah atas tuduhan menipu

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2025 • 5:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SC dakwa bekas perunding unit amanah atas tuduhan menipu

image is not available

30/07/2025 - 17:12

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mendakwa seorang bekas perunding unit amanah, Nadihah Nawi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan sekuriti melibatkan pelaburan unit amanah palsu.

Nadihah, 34 tahun, berdepan dua pertuduhan secara bersama dengan seorang individu lain yang masih bebas, di bawah seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Beliau didakwa telah menipu dua pelabur melibatkan jumlah RM20,000 dengan mewakili kepada mereka satu pelaburan unit amanah di Kenanga Investors Berhad. Kesalahan tersebut berlaku antara Januari hingga Jun 2022 di Kuala Lumpur.

Wang yang didepositkan oleh pelabur telah digunakan untuk pelaburan unit amanah Nadihah sendiri di Kenanga. Pada masa kejadian, Nadihah merupakan seorang perunding unit amanah dengan Principal Asset Management Berhad.

Nadihah bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM70,000 dengan dua penjamin tempatan.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan dengan tertuduh perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat di pejabat SC Kuala Lumpur secara bulanan.

Bagaimanapun, mahkamah tidak mengarahkan penyerahan pasport Nadihah memandangkan pasport tersebut telah tamat tempoh pada 2023.

Jika sabit kesalahan, Nadihah berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.

SC mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan menyemak sebarang tawaran pelaburan melalui laman SC’s Investment Checker di www.sc.com.my/investment-checker. - DagangNews.com

standard