SC mungkin kawal selia dana dan pelaburan Tabung Haji – Menteri

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 12:31 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: SC mungkin kawal selia dana dan pelaburan Tabung Haji – Menteri

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mungkin diberi tanggungjawab mengawal selia aspek pengurusan dana dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai usaha memperkukuh tadbir urus institusi berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, cadangan itu merupakan antara perkara yang sedang diteliti susulan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH.

Katanya, satu pasukan kerja (task force) telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Pengerusi TH serta dianggotai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pengerusi SC bagi meneliti kerangka pengawasan serta pemantauan terhadap pengurusan dana dan pelaburan lembaga tersebut.

“Saya dimaklumkan pasukan kerja ini bersetuju untuk mengesyorkan supaya aspek pengurusan dana dan pelaburan TH dikawalselia oleh SC manakala aspek pengurusan haji akan dikawal selia oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“(Dan) TH kekal sebagai satu entiti yang utuh. Butiran lanjut syor tersebut akan diberikan kepada saya untuk pertimbangan lanjut bagi dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi penerangan berkaitan laporan RCI mengenai TH di Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini, hari ini.

RCI sebelum ini mengenal pasti kelemahan tadbir urus TH termasuk kuasa Menteri yang luas, pelantikan anggota Lembaga tanpa kriteria khusus serta pengaruh politik, selain mengenal pasti 14 pelaburan bermasalah yang dikaitkan dengan kerugian berbilion ringgit.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, kerajaan turut akan memperkukuh Akta Tabung Haji 1995 dengan memasukkan peruntukan undang-undang yang lebih jelas berkaitan piawaian perakaunan serta penalti terhadap salah lapor penyata kewangan.

“Untuk menjamin perkara-perkara yang dilaporkan oleh RCI tidak berulang, peruntukan-peruntukan undang-undang yang jelas seperti piawaian perakaunan yang diguna pakai dan penalti salah lapor penyata kewangan akan dimasukkan ke dalam Akta Tabung Haji yang akan dikemaskini selaras dengan cadangan-cadangan RCI,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post SC mungkin kawal selia dana dan pelaburan Tabung Haji – Menteri appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved