johardy18/11/2026 - 11:40 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov - SCA Solutions Berhad mendedahkan syarikat itu memperoleh tempahan bernilai RM50.9 juta bagi enam projek pusat data di Johor, menerusi prospektus tawaran awam permulaan (IPO) yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Prospektus itu memperincikan IPO sempena penyenaraian SCA Solutions di Pasaran ACE Bursa Malaysia, melibatkan terbitan awam 114 juta saham biasa baharu dan tawaran jualan 56.9 juta saham sedia ada pada harga 28 sen sesaham, yang perlu dibayar penuh semasa permohonan.
Dua projek pusat data yang masih berjalan mencatatkan nilai tempahan keseluruhan RM36.87 juta bagi instrumentasi sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) serta keselamatan kebakaran.
Projek terbesar bernilai RM31.74 juta, manakala satu lagi bernilai RM5.13 juta. Kedua-duanya dijangka siap pada suku kedua 2027.
Empat projek lain disiapkan antara Mac dan September 2026. Skop kerja bagi projek berkenaan merangkumi instrumentasi HVAC dan keselamatan kebakaran, serta sistem rawatan air di salah satu tapak.
Jumlah RM50.9 juta itu dikira berdasarkan nilai pesanan belian bagi enam projek yang disenaraikan dalam prospektus, termasuk pesanan yang sudah dipenuhi.
Bagi keseluruhan perniagaannya, SCA Solutions merekodkan pesanan belian bernilai RM118.07 juta yang belum dipenuhi sepenuhnya bagi 153 projek yang sedang berjalan setakat 20 Oktober.
Terbitan saham baharu sasar kutipan RM31.92 juta
Daripada 114 juta saham baharu itu, 28.5 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan 5.70 juta saham kepada pengarah serta pekerja SCA Solutions yang layak.
Sebanyak 71.20 juta saham lagi diperuntukkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala 8.60 juta saham ditawarkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih lain.
Tawaran jualan 56.9 juta saham sedia ada juga dibuat menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih. Hasil jualan sebanyak RM15.93 juta akan diterima sepenuhnya oleh pemegang saham yang menjual pegangan mereka.
Daripada RM31.92 juta hasil kasar terbitan saham baharu, SCA Solutions memperuntukkan RM26.42 juta untuk pengembangan operasi di Kapar, Selangor, termasuk RM10 juta bagi pembayaran balik pembiayaan hartanah dan RM10.49 juta bagi modal kerja. Baki RM5.50 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian.
Bagi FY2025, SCA Solutions mencatatkan keuntungan selepas cukai RM10.65 juta dengan hasil RM78.01 juta, berbanding keuntungan RM7.78 juta dan hasil RM61.63 juta pada FY2024.
Permohonan IPO ditutup pada jam 5 petang, 26 Nov, manakala penyenaraian di Pasaran ACE dijadualkan pada 9 Dis. - DagangNews.com






