IPO Yes Group catat kadar langganan 2.80 kali menjelang penyenaraian 26 Nov 2026

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 5:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IPO Yes Group catat kadar langganan 2.80 kali menjelang penyenaraian 26 Nov 2026 Image from: IPO Yes Group catat kadar langganan 2.80 kali menjelang penyenaraian 26 Nov 2026 johardy17/11/2026 - 17:54 Pengarah Urusan Yes Group, Angela Mak Shau Kwan Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov - Yes Group Management Berhad, pengendali jenama Yes Travel, mencatatkan kadar langganan 2.80 kali bagi bahagian tawaran awam permulaan (IPO) kepada orang awam menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 November 2026.

 

Pakar pelancongan insentif korporat dan pengurusan acara itu menerima 2,053 permohonan membabitkan 74.15 juta saham berbanding 26.50 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, menurut kenyataan syarikat itu di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pada harga IPO 18 sen sesaham, syarikat dijangka meraih hasil kasar RM16.54 juta menerusi terbitan 91.87 juta saham baharu. IPO itu turut melibatkan tawaran jualan 45.93 juta saham sedia ada, dengan keseluruhan hasilnya disalurkan kepada pemegang saham penjual.

 

Saham baharu tersebut mewakili 17.33% daripada modal saham diperbesar Yes Group sebanyak 530 juta saham, manakala tawaran jualan merangkumi 8.67%.

 

Bahagian awam bukan Bumiputera menerima 1,158 permohonan untuk 67.69 juta saham, bersamaan kadar langganan 5.11 kali berbanding peruntukan 13.25 juta saham.

 

Bahagian awam Bumiputera pula menerima 895 permohonan membabitkan 6.47 juta saham, mewakili kadar langganan 0.49 kali berbanding 13.25 juta saham yang diperuntukkan.

 

Saham penempatan persendirian dilanggan sepenuhnya

Kesemua 5.30 juta saham baharu yang dikhaskan kepada pengarah, pekerja dan individu layak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan menerusi peruntukan borang merah telah dilanggan sepenuhnya. Peruntukan itu mewakili 1% daripada modal saham diperbesar syarikat.

 

Penempatan persendirian 60.07 juta saham baharu, bersamaan 11.33% daripada modal saham diperbesar, kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga dilanggan sepenuhnya.

 

Kedua-dua bahagian tawaran jualan turut ditempatkan sepenuhnya, melibatkan 6.18 juta saham atau 1.17% daripada modal saham diperbesar kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, serta 39.75 juta saham atau 7.50% kepada pelabur terpilih.

 

Pengarah Urusan Yes Group, Angela Mak Shau Kwan berkata, kumpulan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan rancangan pertumbuhan serta pengukuhan keupayaan perniagaan teras mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) serta bidang berkaitan. Kumpulan menyediakan penyelesaian pelancongan insentif yang disesuaikan dengan keperluan pelanggan, selain perkhidmatan perancangan dan pengurusan acara.

 

Pengarah Urusan Malacca Securities, Lim Chia Wei berkata, penyempurnaan tawaran awam itu menandakan satu lagi langkah ke arah penyenaraian Yes Group, yang seterusnya akan menumpukan pelaksanaan strategi perniagaan dan rancangan pertumbuhannya.

 

Malacca Securities Sdn. Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved