KANGAR – Cubaan menyeludup masuk seorang lelaki warga China dipercayai terlibat kegiatan penipuan dalam talian terbongkar apabila dia ditemui menyorok di bawah tempat duduk penumpang belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kompleks Imigresen Padang Besar, bulan lalu.
Lelaki terbabit ditemui dalam keadaan berbaring di lantai bahagian belakang sebuah kenderaan jenis Isuzu Dmax bernombor pendaftaran Thailand sebelum cubaannya untuk memasuki negara ini secara haram berjaya dipatahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis.
Pengarahnya, Mohammad A’sim Md Ali berkata, kejadian dikesan menerusi operasi pemeriksaan di Kaunter Pos Imigresen Padang Besar kira-kira jam 3.10 petang pada 17 April lalu.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati dua lelaki warga Thailand berada di dalam kenderaan terbabit sebelum anggota imigresen mengesan seorang lagi lelaki warga China sedang bersembunyi di lantai tempat duduk belakang.
“Lelaki itu berbaring dan dilindungi menggunakan baju sejuk berwarna hitam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Hasil siasatan mendapati dia tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk masuk ke Malaysia selain tiada rekod pergerakan dalam sistem Jabatan Imigresen,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Selasa.
Mohammad A’sim berkata, lelaki warga China itu turut mengaku pernah bekerja sebagai scammer di Kemboja dan dipercayai cuba memasuki Malaysia untuk meneruskan kegiatan berkenaan.
Katanya, suspek telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar pada 29 April lalu mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah.
“Dua lelaki warga Thailand yang dipercayai membantu membawa masuk suspek turut dituduh di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan atas pertuduhan bersama.
“Setakat 11 Mei, mahkamah masih belum merekodkan keputusan kes dan sebutan fakta serta hukuman terhadap kedua-dua tertuduh ditetapkan pada 14 Mei ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JIM Perlis melaksanakan 166 operasi penguatkuasaan bermula Januari hingga Isnin membabitkan Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Kutip.
“Hasil operasi itu, seramai 1,930 warga asing diperiksa dengan 130 PATI ditahan bagi siasatan lanjut.
“Tahun lalu pula, sebanyak 359 operasi dijalankan dengan keseluruhan 420 PATI berjaya ditahan,” katanya.






