Magna Prima bakal pulihkan projek 8 Conlay menerusi penstrukturan semula RM700 juta

Business & FinanceProperty
14 Aug 2026 • 9:32 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Magna Prima bakal pulihkan projek 8 Conlay menerusi penstrukturan semula RM700 juta Image from: Magna Prima bakal pulihkan projek 8 Conlay menerusi penstrukturan semula RM700 juta johardy14/08/2026 - 09:32 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Magna Prima Bhd bersetuju untuk melaksanakan pemulihan dan menyiapkan pembangunan bercampur 8 Conlay yang terbengkalai di Kuala Lumpur menerusi penstrukturan semula melibatkan liabiliti dianggarkan sehingga RM700 juta.

 

Pemaju hartanah itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Permata Juang (M) Sdn Bhd memeterai perjanjian pemulihan dengan Damai City Sdn Bhd (DCSB), yang kini dalam proses pembubaran dan penerimaan, serta Delta 8 Sdn Bhd, menurut pemakluman Magna Prima kepada Bursa Malaysia.

 

Di bawah perjanjian itu, Permata Juang akan menjadi pemaju pemulihan 8 Conlay dan bertanggungjawab membiayai, meneruskan serta menyiapkan pembangunan tersebut. Ia juga akan menggantikan DCSB sebagai pemaju dan penjual di bawah perjanjian jual beli sedia ada selepas proses pemindahan selesai.

 

Transaksi itu melibatkan hak komersial syarikat yang dihadkan kepada RM700 juta, mewakili jumlah hak komersial DCSB yang dipersetujui daripada penstrukturan semula tersebut. Liabiliti yang diandaikan akan distruktur semula dan diselesaikan menerusi penerbitan stok pinjaman bercagar boleh tebus (RSLS) oleh Permata Juang.

 

Jumlah RM700 juta itu bukan harga pembelian bagi 8 Conlay atau tanahnya. Tanah dan pembangunan tersebut sebaliknya menjadi sebahagian daripada penstrukturan semula bersepadu yang melibatkan pengambilalihan liabiliti dan penerbitan RSLS. 

 

Permata Juang turut menyediakan komitmen tunai RM70 juta, terdiri daripada RM14 juta yang dibayar sebelum perjanjian dimeterai, RM21 juta semasa perjanjian dimeterai dan RM35 juta lagi pada tarikh penyempurnaan pemindahan. Bayaran itu akan digunakan sebagai bayaran penebusan awal bagi kelas RSLS berkaitan.

 

 

8 Conlay

 

8 Conlay masih belum siap sepenuhnya

Pembangunan pegangan bebas seluas 3.65 ekar itu masih belum siap sepenuhnya selepas mengalami kelewatan ketara, penamatan kontrak pembinaan, pemberhentian kerja pembinaan dan masalah kewangan yang dihadapi DCSB.

 

Berdasarkan kos yang telah ditanggung, podium runcit siap 70.21%, Menara A sebanyak 64.69%, Menara B 49.61%, hotel 45.91% dan suite hotel 22.34% setakat tarikh pengumuman. 

 

DCSB sebelum ini menjual 404 unit di Menara A dan 160 unit di Menara B. Di bawah penstrukturan semula itu, Permata Juang akan mengambil alih obligasi berkaitan pembeli sedia ada serta bertanggungjawab menyiapkan unit dan menyerahkan milikan kosong mengikut Skim Pengaturan dan rangka kerja pembeli.

 

Magna Prima bercadang menyemak semula pelan pembangunan sedia ada bagi meningkatkan daya maju dan nilai keseluruhan projek, dengan butiran lanjut akan diumumkan selepas pelan baharu itu dimuktamadkan.

 

Tanah dan bangunan tersebut dinilai pada RM721 juta setakat 23 Jun 2025 oleh penilai bebas City Valuers & Consultants Sdn Bhd menggunakan kaedah baki. Penilaian terkini akan dilaksanakan berdasarkan tarikh penilaian yang disemak semula.

 

Perlu kelulusan pemegang saham, Mahkamah Tinggi

Penstrukturan semula itu masih tertakluk kepada beberapa syarat termasuk kelulusan pemegang saham Magna Prima pada mesyuarat agung luar biasa, pengesahan Skim Pengaturan oleh Mahkamah Tinggi Malaya serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

 

DCSB diletakkan di bawah pentadbiran pada 5 Januari 2024 susulan berlakunya peristiwa keingkaran sebelum Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah gulung tikar pada 15 Julai 2026 dan pelikuidasi dilantik. 

 

Magna Prima berkata, pemulihan itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan pendapatan sesaham kumpulan apabila 8 Conlay disiapkan dan dikomersialkan secara berperingkat.

 

Nisbah penggearan teraudit kumpulan adalah sifar setakat 31 Disember 2025 tetapi dijangka meningkat kepada 1.99 kali susulan penerbitan RSLS. Nisbah peratusan tertinggi bagi transaksi itu di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia ialah 214.85%.

 

Tertakluk kepada kelulusan berkaitan serta pemenuhan atau pengecualian syarat terdahulu, penstrukturan semula dan pemulihan itu dijangka selesai menjelang separuh pertama 2027.  - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved