SCIB terima tawaran RM113 juta daripada YTL Cement ambil alih SCIB Concreteima

LocalBusiness & Finance
3 Oct 2025 • 9:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SCIB terima tawaran RM113 juta daripada YTL Cement ambil alih SCIB Concreteima

image is not available

03/10/2025 - 09:25

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Okt – Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) menerima tawaran daripada YTL Cement (Sarawak) untuk membeli anak syarikatnya, SCIB Concrete Manufacturing Sdn. Bhd dengan harga RM113 juta.

SCIB berkata, tawaran yang dibuat itu hampir menyamai jumlah nilai pasaran SCIB sebanyak RM115.4 juta.

SCIB Concrete Manufacturing terlibat dalam penjualan bahan binaan serta produk konkrit seperti paip pratuang dan tiang berpusing.

SCIB dalam satu kenyataan memaklumkan lembaga pengarahnya telah bersetuju menerima tawaran itu secara prinsip, tertakluk kepada syarat termasuk rundingan dan pelaksanaan perjanjian jual beli saham yang akan dimuktamadkan.

image is not available
Pengerusi Eksekutif SCIB, Datuk Chong Loong Men

Pengerusi Eksekutif SCIB, Datuk Chong Loong Men, menyifatkan tawaran itu sebagai peluang untuk membuka nilai daripada salah satu unit perniagaan teras kumpulan.

“Ia masih di peringkat awal dan syarikat akan menilai cadangan secara menyeluruh dengan berpandukan nasihat profesional sebelum membuat keputusan seterusnya.

“SCIB sentiasa terbuka kepada mana-mana peluang strategik yang memberi manfaat terbaik kepada syarikat dan pemegang kepentingannya,” katanya.

YTL Cement (Sarawak) adalah anak syarikat milik penuh YTL Cement Bhd, yang 98.03% dimiliki oleh YTL Corporation Bhd.

SCIB berkata, ia akan melantik penasihat undang-undang, kewangan dan strategik bagi memastikan penilaian menyeluruh terhadap transaksi ini selaras dengan standard tadbir urus korporat.

Perjanjian itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dengan butiran lanjut akan diumumkan pada masa sesuai.

Selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad, pengumuman selanjutnya akan dibuat selepas pelaksanaan Definitive Agreement atau sekiranya terdapat sebarang perkembangan material.

Sepanjang proses ini, SCIB kekal komited terhadap ketelusan dan memastikan kepentingan semua pemegang kepentingan, termasuk pemegang saham, pekerja, pelanggan dan rakan perniagaan diberi keutamaan. -DagangNews.com

standard