MMS Ventures jangka kembali untung tahun ini disokong pemulihan pasaran peranti pintar boleh pakai

08/08/2025 - 13:06
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 8 Ogos – MMS Ventures Bhd, pengeluar peralatan ujian semikonduktor, optimis untuk kembali mencatat keuntungan bagi tahun kewangan 2025 (FY25) disokong oleh pemulihan ketara dalam pasaran peranti pintar boleh dipakai (wearable devices).
Pengarah Urusan Kumpulan, Sia Teik Kiat berkata, syarikat sudah menerima semula pesanan daripada pelanggan multinasional sejak Januari lalu selepas hampir tiga tahun menyaksikan penyusutan permintaan dalam segmen peranti pintar.
“Walaupun mencatatkan kerugian pada suku pertama, kami menjangka jualan meningkat dua digit pada suku kedua dan pertumbuhan satu digit pada suku ketiga tahun ini,” katanya seperti dilaporkan The Edge.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, syarikat itu mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM454,000, berbanding pendapatan RM9 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.
Pada masa ini, MMS Ventures menggunakan kira-kira 80% daripada ruang pengeluaran seluas 12,000 kaki persegi bagi menghasilkan sistem automasi ‘pick-and-place’ serta peralatan pemasangan dan ujian dengan nilai tahunan sekitar RM40 juta.
Harga jualan bagi satu unit sistem automasi ini berada dalam lingkungan RM200,000 hingga RM1.5 juta seunit.
Mengulas prospek industri pula beliau berkata, pemulihan permintaan seiring dengan unjuran firma penyelidikan TechNavio yang menjangkakan pasaran peranti boleh dipakai global berkembang sebanyak US$99.4 bilion (RM420.2 bilion) antara tahun 2025 hingga 2029 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 17.3%.
Selain segmen peranti pintar, syarikat turut menjangkakan gabungan sumbangan daripada segmen perubatan dan automotif akan menyumbang 40% daripada jumlah hasil kumpulan pada FY25.
“Kami juga sedang meneroka peluang dalam sektor tenaga sebagai sebahagian strategi pengembangan perniagaan,” katanya.
Bagaimanapun, syarikat turut berhati-hati terhadap beberapa risiko luar jangka termasuk ketidaktentuan dalam rundingan tarif antara Amerika Syarikat dan rakan dagangnya yang memberi kesan kepada rantaian bekalan, kos serta margin keuntungan.
“Turun naik kadar tukaran asing juga turut memberi kesan terhadap keupayaan kami untuk mengekalkan margin kasar yang stabil,” katanya.
Namun, beliau kekal yakin MMS Venture berada pada landasan yang tepat untuk mencatat pemulihan kewangan tahun ini tertakluk kepada kestabilan pasaran dan faktor luaran yang mempengaruhi prestasi operasi. - DagangNews.com
standard


