SD Guthrie dijangka catat penurunan keuntungan 32% pada 3Q, CIMB Securities kekal positif

Business & Finance
29 Oct 2026 • 1:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SD Guthrie dijangka catat penurunan keuntungan 32% pada 3Q, CIMB Securities kekal positif Image from: SD Guthrie dijangka catat penurunan keuntungan 32% pada 3Q, CIMB Securities kekal positif hamden29/10/2026 - 13:21 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt - SD Guthrie Bhd dijangka mencatatkan penurunan keuntungan bersih teras sebanyak 32% kepada RM645 juta bagi suku ketiga 2026, berikutan keuntungan pelupusan tanah yang lebih rendah meskipun pendapatan segmen huluan dijangka lebih kukuh.

 

CIMB Securities berkata, prestasi itu bagaimanapun tidak menjejaskan prospek syarikat perladangan kelapa sawit terbesar dunia yang disenaraikan berdasarkan keluasan tanah tersebut untuk mencapai unjuran pendapatan bagi keseluruhan tahun kewangan 2026 (FY2026).

 

Firma penyelidikan itu dalam nota pada Khamis berkata, keuntungan bersih teras SD Guthrie bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 dijangka mencecah RM2.14 bilion, bersamaan 71% daripada unjuran penuhnya.

 

SD Guthrie dijadualkan mengumumkan keputusan kewangan suku ketiga pada 5 November ini.

 

CIMB Securities mengekalkan pandangan positif terhadap keupayaan syarikat itu mencapai sasaran pendapatan FY2026, disokong peningkatan pengeluaran tandan buah segar (FFB) sebanyak 8% dari segi suku ke suku dan tahun ke tahun.

 

Pengeluaran tandan buah segar kukuh

Menurut firma penyelidikan itu, dengan andaian harga minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit kekal stabil, pengeluaran FFB berpotensi menyumbang kira-kira RM52 juta kepada keuntungan sebelum cukai segmen huluan.

 

Selain prestasi operasi, prospek pendapatan SD Guthrie turut disokong potensi pengiktirafan keuntungan daripada pelupusan tanah Bukit Kerayong menjelang suku keempat 2026.

 

Urus niaga itu dianggarkan menjana keuntungan bersih kira-kira RM408 juta.

 

SD Guthrie turut mempunyai satu lagi urus niaga pelupusan tanah di Kulai bernilai RM419 juta, yang dijadualkan pada suku kedua 2027.

 

Pelupusan berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi lebih besar syarikat untuk merealisasikan nilai aset tanahnya.

 

Naik taraf saranan kepada BELI  

Dari sudut penilaian saham, CIMB Securities menaik taraf saranannya terhadap SD Guthrie kepada BELI selepas harga saham syarikat itu mengalami pembetulan sebanyak 17% daripada paras tertinggi RM6.91 yang dicatatkan pada Ogos.

 

Firma penyelidikan itu berpandangan penurunan harga saham berkenaan menawarkan titik kemasukan yang menarik menjelang potensi kitaran kenaikan harga CPO pada 2027.

 

Bagaimanapun, CIMB Securities menurunkan harga sasaran saham SD Guthrie sebanyak 34 sen kepada RM6.52 susulan peningkatan risiko kawal selia di Indonesia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved