liza21/10/2026 - 15:21 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt – CIMB Group Holdings Bhd dijangka mencatatkan prestasi keuntungan lebih rendah pada suku ketiga berakhir 30 September 2026 berikutan pendapatan dagangan yang lebih lemah dan peningkatan kos dana, meskipun pertumbuhan pinjaman kumpulan perbankan itu kekal berdaya tahan.
Penganalisis berkata prestasi CIMB dijangka sederhana berbanding suku kedua apabila kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih RM1.94 bilion disokong pendapatan bukan faedah, pertumbuhan pinjaman yang sihat serta peningkatan kecekapan kos.
TA Securities menjangkakan persaingan mendapatkan deposit terus memberi tekanan kepada margin pinjaman CIMB, khususnya di Malaysia dan Indonesia.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan pendapatan dagangan berkurangan selepas mencatatkan prestasi kukuh pada separuh pertama 2026.
Ketiadaan pendapatan tidak berulang kira-kira RM100 juta yang direkodkan pada suku kedua juga dijangka memberi kesan kepada keputusan suku ketiga, lapor The Edge.
Bagaimanapun, pertumbuhan berterusan yuran pengurusan kekayaan dan jualan perbendaharaan kepada pelanggan dijangka membantu mengurangkan kesan tekanan berkenaan.
TA Securities mengekalkan saranan Pegang terhadap CIMB, tetapi menurunkan harga sasaran sahamnya kepada RM7.42 daripada RM8.14 berikutan semakan andaian penilaian dan sentimen pelabur yang lebih lemah.
Pendapatan bukan faedah dijangka menyusut
Sementara itu, Public Investment Bank pula menjangkakan pendapatan bukan faedah CIMB lebih lemah apabila peningkatan hasil bon berpotensi menjejaskan pendapatan dagangan daripada pelaburan berpendapatan tetap.
Firma penyelidikan itu mengurangkan unjuran keuntungan CIMB sebanyak 4% bagi tahun kewangan 2026 (FY2026), manakala unjuran bagi FY2027 dan FY2028 masing-masing dipotong sebanyak 2%.
Public Invest mengunjurkan keuntungan bersih CIMB susut 1.7% kepada RM7.73 bilion pada FY2026 berbanding RM7.86 bilion pada tahun sebelumnya.
Walaupun mengekalkan saranan Outperform, firma itu menurunkan harga sasaran saham CIMB kepada RM8.40 daripada RM8.70.
Sementara itu, Maybank Investment Bank menjangkakan prestasi CIMB pada suku ketiga kekal agak berdaya tahan, disokong aktiviti pinjaman yang teguh serta peningkatan pendapatan perbendaharaan dan pengurusan kekayaan.
Namun, firma itu menjangkakan persekitaran operasi yang mencabar di Indonesia berterusan hingga FY2027. Susulan itu, unjuran keuntungan bagi FY2027 dan FY2028 masing-masing disemak turun sebanyak 2% dan 1%.
Maybank IB mengekalkan saranan Pegang terhadap CIMB, tetapi mengurangkan harga sasaran sahamnya kepada RM7.40 daripada RM8.40.
Kos kredit dan tekanan margin turut diberi perhatian
CIMB Securities turut menjangkakan keuntungan kumpulan itu menurun berbanding suku sebelumnya, dipengaruhi pendapatan dagangan yang lebih rendah, peningkatan kos kredit di CIMB Niaga serta tekanan berterusan terhadap margin pinjaman.
Bagaimanapun, firma itu berpandangan kesan ketidaktentuan pasaran bon baru-baru ini terhadap pendapatan kumpulan masih terkawal. Jualan perbendaharaan yang lebih kukuh dan pendapatan pengurusan kekayaan dijangka membantu menyokong prestasi.
Dari segi pulangan kepada pemegang saham, MBSB Research memberi amaran bahawa jangkaan terhadap dividen khas mungkin tidak tercapai susulan pembelian semula saham CIMB baru-baru ini serta hasil pemulangan modal daripada pelupusan perniagaan pembiayaan automotif di Thailand yang lebih rendah daripada jangkaan.
CIMB mempunyai baki kira-kira RM850 juta di bawah program pemulangan modal selepas membelanjakan sekitar RM446 juta untuk pembelian semula saham.
Menurut MBSB Research, pihak pengurusan masih meneliti sama ada baki dana itu akan diagihkan melalui dividen khas atau digunakan untuk pembelian semula saham tambahan.
Firma itu mengekalkan saranan Beli terhadap CIMB, tetapi menurunkan harga sasaran saham kepada RM8.35 daripada RM9.29.
Sasaran pulangan ekuiti dikekalkan
Walaupun berdepan tekanan terhadap pendapatan, CIMB mengekalkan sasaran pulangan atas ekuiti (ROE) bagi FY2026 pada 11% hingga 11.5%.
Sasaran itu disokong pertumbuhan pinjaman berterusan serta sumbangan lebih tinggi daripada perniagaan yang menjana pendapatan berasaskan fi.
Data konsensus Bloomberg menunjukkan 70% penganalisis yang membuat liputan terhadap CIMB Group memberikan saranan Beli, manakala 25% menyarankan Pegang dan 5% lagi memberikan saranan Jual. Harga sasaran purata bagi tempoh 12 bulan ialah RM8.60.
Penganalisis turut menyifatkan pinjaman korporat di Malaysia sebagai pemacu utama pertumbuhan CIMB, khususnya susulan pelaburan dalam pusat data, sektor elektrik dan elektronik serta projek berkaitan semikonduktor. - DagangNews.com





