hamden21/10/2026 - 14:32 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt - Westports Holdings Bhd menjangkakan jumlah kendalian kontena keseluruhan sekurang-kurangnya kekal pada paras tahun lalu, meskipun prospek volum berkenaan berdepan risiko susulan perubahan keadaan pasaran yang pantas.
Pengendali pelabuhan itu berkata, persekitaran kadar faedah global meningkat berikutan tekanan inflasi yang berpunca daripada kenaikan mendadak harga tenaga.
Bagaimanapun, penggunaan kekal berdaya tahan disokong pelaburan berkaitan teknologi yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta keyakinan terhadap pertumbuhan.
Dalam pemfailan keputusan kewangannya kepada Bursa Malaysia, Westports berkata kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM342.56 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, berbanding RM271.11 juta dalam tempoh sama sebelumnya.
Hasil kumpulan turut meningkat kepada RM1.07 bilion berbanding RM751.99 juta pada suku ketiga tahun sebelumnya.
Westports berkata, hasil operasi berjumlah RM798 juta, meningkat 20% berbanding suku sama tahun lalu, terutamanya disumbangkan oleh kenaikan tarif serta pendapatan lebih kukuh daripada perkhidmatan tambah nilai (VAS).
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan pertama 2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM1.03 bilion berbanding RM725.2 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil bagi tempoh berkenaan pula meningkat kepada RM2.83 bilion.
Westports bagaimanapun mengingatkan bahawa prospek jumlah kendalian kontena boleh dipengaruhi oleh perkembangan keadaan pasaran global yang berubah dengan pantas. - DagangNews.com




