SD Guthrie komited laksana dasar gaji sara hidup pada 1Q26

LocalBusiness & Finance
29 Dec 2025 • 9:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SD Guthrie komited laksana dasar gaji sara hidup pada 1Q26 image is not available haziq29/12/2025 - 09:47 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Dis – SD Guthrie Bhd komited untuk membangunkan dasar gaji sara hidup bagi operasi di Malaysia dengan rangka kerja dasar tersebut dijangka dimuktamadkan pada suku pertama 2026 (1Q26).

 

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata pelaksanaan dasar berkenaan akan dibuat secara berfasa, bermula dengan kira-kira 8,000 pekerja bukan perladangan. 

 

Fasa pertama disasarkan untuk disiapkan menjelang Disember 2026 dan akan diselaraskan dengan Panduan Perbelanjaan Belanjawanku Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Menurut SD Guthrie, inisiatif itu bertujuan memastikan struktur gaji yang lebih adil di samping menyokong objektif sosioekonomi yang lebih luas di Malaysia. 

 

Langkah berkenaan juga merupakan sebahagian daripada komitmen pemegang saham utama, Permodalan Nasional Bhd (PNB) bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain untuk mengguna pakai dasar gaji sara hidup di bawah Program Pengaktifan dan Pembaharuan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang diterajui Kementerian Kewangan.

 

Kumpulan itu berkata, dasar tersebut akan mengambil kira komitmen sedia ada berkaitan buruh serta piawaian antarabangsa yang telah ditandatangani termasuk pematuhan kepada undang-undang buruh Malaysia seperti Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dipinda pada 2019.

 

Selain itu, SD Guthrie memaklumkan perbezaan kos sara hidup mengikut wilayah serta nilai manfaat sedia ada yang diterima pekerja turut akan dipertimbangkan dalam pelaksanaan dasar berkenaan.

 

Menurut kenyataan itu, kumpulan tersebut juga mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

 

Operasi SD Guthrie di Malaysia merangkumi 11 negeri, melibatkan 121 estet, 31 kilang, serta kemudahan hiliran dan tenaga boleh diperbaharui. 

 

Kumpulan itu menggaji lebih daripada 35,000 pekerja daripada pelbagai negara. - DagangNews.com

Terkini standard