amree02/10/2026 - 12:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Okt — Seal Incorporated Berhad bakal memohon kelulusan pemegang saham bagi jaminan pembiayaan korporat tambahan sehingga RM58.72 juta untuk membantu syarikat bersekutunya, MSR Green Energy Sdn Bhd (MSRGE).
Kata kumpulan berkenaan, langkah jaminan tersebut melibatkan kemudahan perbankan serta kemudahan kontrak pertukaran mata wang asing (forex) sedia ada yang tidak komited, untuk diperoleh MSRGE daripada AmBank (Malaysia) Berhad.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia menjelaskan cadangan tersebut menjadi satu-satunya resolusi untuk dipertimbangkan pemegang saham menerusi notis Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan pada 21 Oktober 2026.
"MSRGE merupakan syarikat bersekutu dengan Seal mempunyai pegangan sebanyak 24.55%, sekali gus menyebabkan jumlah jaminan tambahan RM58.72 juta itu diberikan secara berkadar dengan pegangan Seal dalam MSRGE," tambahnya.
Cadangan berkenaan memerlukan kelulusan pemegang saham sebelum kumpulan itu boleh melaksanakan jaminan korporat tersebut, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawal selia atau pihak berkaitan sekiranya diperlukan.

Ia menambah, lembaga pengarah akan diberi kuasa untuk melaksanakan cadangan berkenaan, termasuk menandatangani perjanjian, surat ikatan, dokumen, aku janji, indemniti dan jaminan berkaitan dengan pihak AmBank.
Selain itu, Lembaga Pengarah Seal turut diberi kuasa untuk merunding, meluluskan atau menyepakati sebarang syarat, pindaan atau variasi yang diperlukan bagi melaksanakan jaminan tambahan tersebut.
EGM kumpulan akan berlangsung di Corporate Meetings by Envivo, Crystal Plaza, Petaling Jaya, Selangor, dengan rarikh rekod depositori bagi menentukan pemegang saham yang layak mengambil bahagian dan mengundi adalah 15 Oktober 2026.
"Resolusi berkenaan akan diputuskan melalui pengundian selaras dengan Perenggan 8.29A Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad," menurut notis tersebut.
Pemegang saham yang mahu melantik proksi perlu mengemukakan borang proksi selewat-lewatnya pada pukul 10.30 pagi 19 Oktober 2026, iaitu sekurang-kurangnya 48 jam sebelum mesyuarat bermula. - DagangNews.com




