SeaTrade Cruise Asia 2026 pilih Selangor, pertama kali di Malaysia

LocalTravel
5 Aug 2026 • 10:15 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SeaTrade Cruise Asia 2026 pilih Selangor, pertama kali di Malaysia

SHAH ALAM, 5 OGOS: Industri pelancongan kapal persiaran Selangor bakal melakar sejarah apabila SeaTrade Cruise Asia, yang sekian lama dianjurkan di Singapura, akan berlangsung di Malaysia buat kali pertama pada 16 hingga 20 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, lebih 600 wakil syarikat kapal persiaran antarabangsa serta pemimpin industri dari seluruh dunia dijangka menghadiri persidangan berprestij itu di Pelabuhan Klang Cruise Terminal (PKCT).

Menurut beliau, dua hari pertama persidangan akan diadakan di Kuala Lumpur, manakala pada hari ketiga para peserta akan dibawa ke PKCT sebelum menaiki kapal persiaran menuju ke Pulau Pinang.

"Ini merupakan peluang keemasan untuk Selangor mempromosikan potensi pelancongan kapal persiaran di peringkat antarabangsa.

"Tourism Selangor akan menampilkan persembahan kebudayaan, pameran produk komuniti serta menyediakan kopi dan makanan tempatan bagi memberi pengalaman yang autentik kepada para delegasi," katanya.

Image from: SeaTrade Cruise Asia 2026 pilih Selangor, pertama kali di Malaysia
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling.

Chua berkata, antara kekuatan utama Selangor ialah kemudahan di PKCT yang memenuhi piawaian antarabangsa, sekali gus menjadikannya antara terminal kapal persiaran terbaik di Malaysia.

Beliau berkata, awal tahun ini beliau bersama EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Datuk Ng Suee Lim menghadiri SeaTrade Cruise Global di Miami, Amerika Syarikat.

Menurutnya, maklum balas yang diterima menunjukkan pelancong, khususnya dari Eropah, amat menghargai pengalaman yang mengetengahkan budaya dan identiti tempatan.

Sebagai contoh, Rumah Papan Pandamaran di Klang pernah menerima kunjungan ramai pelancong kapal persiaran dari Eropah, dengan aktiviti kebudayaan yang disediakan mendapat sambutan menggalakkan.

Sehubungan itu, Tourism Selangor akan terus memperkukuh promosi pakej lawatan persinggahan kepada syarikat kapal persiaran dan agensi pelancongan, selain menambah baik jaringan pengangkutan serta produk pelancongan bagi memudahkan pergerakan pelancong dari terminal ke destinasi pelancongan.

Kerjasama rentas agensi perlu diperkukuh

Mengulas prospek industri, Chua yakin pelancongan kapal persiaran di Selangor akan terus berkembang dan menyasarkan peningkatan lima peratus jumlah pelancong tahun ini.

Beliau berkata, sasaran itu hanya dapat dicapai menerusi kerjasama erat antara kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri dan sektor swasta.

Beliau turut berkongsi hasil lawatannya ke ibu pejabat Adora Cruises di China yang mendapati hanya kira-kira 10 peratus rakyat negara itu pernah menaiki kapal persiaran.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan pasaran Asia masih mempunyai potensi pertumbuhan yang besar.

Bagaimanapun, beliau mengakui pendekatan pembangunan industri kapal persiaran di Malaysia masih berbeza berbanding Singapura.

Image from: SeaTrade Cruise Asia 2026 pilih Selangor, pertama kali di Malaysia
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling (kanan, tiga dari kanan) mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Singapura pada 30 Jun 2026. Dalam lawatan itu, beliau mengadakan pertemuan dengan Lembaga Pelancongan Singapura (Singapore Tourism Board) bagi membincangkan potensi kerjasama dalam industri pelancongan kapal persiaran, sekali gus memperkukuh promosi pelancongan dua hala antara Singapura dan Selangor.Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling (kanan, tiga dari kanan) mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Singapura pada 30 Jun 2026.

"Di Singapura, promosi pelancongan kapal persiaran diterajui sepenuhnya oleh Singapore Tourism Board dengan memberi tumpuan kepada pengalaman pelancong.

"Di Malaysia pula, pembangunan pelabuhan lebih banyak diterajui Kementerian Pengangkutan yang secara tradisinya memberi fokus kepada logistik dan pengangkutan komersial," katanya.

Justeru, beliau berpandangan kerjasama lebih erat perlu diwujudkan antara Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, kerajaan negeri dan sektor swasta bagi memaksimumkan manfaat ekonomi daripada industri kapal persiaran.

Walaupun sukar mengukur secara tepat kesan ekonomi kepada setiap peniaga, Chua berkata limpahan manfaat kepada sektor makanan dan minuman, pengangkutan serta jualan cenderamata tempatan jelas dapat dilihat.

Beliau berkata Tourism Selangor akan terus merujuk model kejayaan Singapura bagi menambah baik pakej perkhidmatan dan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai antara hab utama pelancongan kapal persiaran di Asia Tenggara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved