KOTA KINABALU - Sebahagian penghuni yang terjejas dalam kebakaran rumah setinggan atas air di Kampung Numbak, di sini pada awal pagi Ahad dipercayai bukan penduduk tempatan.
Bagaimanapun insiden pada jam 1.40 pagi itu mengorbankan tiga kanak-kanak warga tempatan yang dikenali sebagai Mohd Asrul Abdullah, 6, adiknya Nana, 4 dan Nur Farah Bilah Mohd Tajah, 8.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan, sebanyak 202 rumah terjejas membabitkan 134 penduduk daripada 40 Ketua Isi Rumah (KIR) dan ketika ini mereka ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Dewan Serbaguna Likas dan Dewan Damai.
"Daripada jumlah itu, 110 mangsa daripada 34 KIR ditempatkan di Dewan Serbaguna Likas manakala Dewan Damai yang mempunyai kapasiti kira-kira 70 khemah atau lebih 100 keluarga turut dibuka sebagai PPS kedua.
"Setakat ini 24 mangsa daripada enam KIR telah ditempatkan di Dewan Damai dan jumlah mangsa yang berdaftar akan meningkat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau berkata, PPS tersebut disediakan untuk warga tempatan yang terjejas, manakala kawalan sedang dilaksanakan bagi memastikan tiada pembinaan struktur baharu di kawasan setinggan terbabit.
"JPBN memaklumkan, berdasarkan laporan lapangan, keadaan di Dewan Serbaguna Likas sesak berikutan proses pendaftaran mangsa yang sedang dijalankan.
"Dewan Damai yang mempunyai kapasiti kira-kira 70 khemah atau lebih 100 keluarga turut dibuka sebagai PPS kedua.
"Pengamatan awal turut mendapati sebahagian penghuni kawasan rumah setinggan berkenaan bukan penduduk tempatan," katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berkata, JPBN Sabah akan terus memantau perkembangan situasi, termasuk pendaftaran mangsa, keperluan di PPS serta operasi pascabencana dari semasa ke semasa.
Sementara itu, dalam kenyataan sama beliau memaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan dan Perkhidmatan Am Sabah mengesahkan ketiga-tiga mangsa rentung adalah warga tempatan.
"Jabatan Kebajikan dan Perkhidmatan Am Sabah mengesahkan ketiga-tiga mangsa adalah warganegara Malaysia," katanya.
Pada awalnya, kebakaran membabitkan kawasan rumah setinggan atas air yang merangkumi Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama.
Operasi memadam kebakaran melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran, selain bantuan agensi lain.
Kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak ke kawasan berhampiran, manakala operasi pemadaman dan kerja-kerja overhaul diteruskan.





