KOTA KINABALU – Kebakaran membabitkan 202 rumah setinggan atas air di Kampung Numbak pada awal pagi Ahad dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara setempat apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di stesen Politeknik Kota Kinabalu mencecah 142.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata, setakat jam 5 petang Ahad, stesen berkenaan merupakan satu-satunya daripada enam stesen pemantauan di Sabah yang merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Menurut beliau, stesen berkenaan mula mencatatkan bacaan melebihi 100 sejak jam 12 tengah hari.
“Pada jam 5 petang, satu stesen mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu 142, manakala lima kawasan lain masih merekodkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
“Stesen Kota Kinabalu mencatatkan bacaan IPU 97, Kimanis (95), Keningau (93), Sandakan (78) dan Tawau (79),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Nor Rashidah berkata, kualiti udara di Sabah ketika ini turut dipengaruhi oleh jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan, Indonesia.
Katanya, asap tebal daripada kebakaran tersebut dibawa oleh tiupan angin ke wilayah Borneo termasuk Sabah.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah turut melaporkan kebakaran 202 rumah setinggan atas air di Kampung Numbak pada awal pagi 30 Ogos yang turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara setempat.
“Setakat ini, tiada kejadian kebakaran besar lain di sekitar Kota Kinabalu yang dilaporkan oleh JBPM Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura pada Sabtu, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA)-20 mengesan dua titik panas di Tuaran dan Kota Belud.
Bagaimanapun, beliau berkata, titik panas itu dikesan di kawasan belukar dan kebakaran berkenaan telah dipadamkan sepenuhnya.
Menurutnya, tiada lagi titik panas dikesan di lokasi sama berdasarkan cerapan pada Ahad.
“Paparan ASMC pada 30 Ogos menunjukkan dua titik panas dikesan di Kampung Numbak yang melibatkan kebakaran rumah setinggan atas air.
“Sebanyak 1,107 titik panas pula dikesan di Kalimantan bagi cerapan pada 29 Ogos,” katanya.
Mengulas mengenai tahap kualiti udara, Nor Rashidah berkata, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan bacaan melebihi 300 diklasifikasikan sebagai berbahaya.
Beliau berkata, sekolah, tadika dan taska akan ditutup sekiranya bacaan IPU mencapai tahap yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, susulan cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini, JAS Sabah meningkatkan tahap kesiapsiagaan melalui tindakan penguatkuasaan serta rondaan harian di kawasan yang berisiko berlaku pembakaran terbuka.
“Setakat ini, sebanyak 474 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dijalankan, selain pemantauan bacaan IPU dilakukan secara berterusan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan bekerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Sebarang kejadian boleh dilaporkan kepada JBPM menerusi talian kecemasan 999 atau JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727.
Orang ramai juga boleh mendapatkan bacaan IPU terkini yang dikemas kini setiap jam melalui laman sesawang rasmi JAS atau aplikasi mudah alih MyIPU.






