
Pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid tampil menjelaskan tindakannya meninggalkan kem latihan Harimau Malaya bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya terdapat perkara tertentu yang tidak dapat dikongsikan kepada umum.
Menerusi satu kenyataan di media sosial, pemain Kuching City FC itu menegaskan beliau tidak pernah menolak panggilan untuk mewakili skuad kebangsaan sepanjang kariernya.
“Saya bukan saja-saja tinggalkan kem Malaysia. Ada benda yang boleh cerita, ada benda yang tak boleh cerita.
“Setakat ini saya tak pernah lagi tolak tawaran pasukan Malaysia jika dipanggil sepanjang karier saya, Alhamdulillah,” katanya.
Safawi turut menegaskan bahawa menyarung jersi kebangsaan sentiasa menjadi satu kebanggaan buat dirinya.
“Sarung baju hitam kuning adalah kebanggaan saya,” katanya sambil menyertakan tanda pagar #familysafetyfirst yang membawa maksud keselamatan keluarga perlu diutamakan.
Terdahulu, skuad Harimau Malaya menerusi satu kenyataan memaklumkan Safawi terpaksa meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan di China dan pulang ke tanah air pada Khamis susulan urusan keluarga.
The post ‘Saya bukan saja-saja tinggalkan kem Malaysia’ – Safawi appeared first on The Reporter.






