Sebenarnya, jadi pembangkang lebih mudah

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sebenarnya, jadi pembangkang lebih mudah

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sudah pun diketahui. Tidak ada satu pun parti atau gabungan parti yang mendapat majoriti mudah 19 kerusi. Barisan Nasional (BN) menang kerusi terbanyak dengan 18 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) mendapat 11 kerusi.

Menerusi kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang mendapat tujuh kerusi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim daripada BN dipilih sebagai Menteri Besar yang baharu dengan mandat dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

Tewasnya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun adalah antara kejutan dalam PRN Sabtu lalu. Loke tewas di Chennah selepas 13 tahun menjadi ADUN di kawasan itu, manakala Aminuddin kalah di kubu kuat BN di Linggi.

Faktor kerjasama BN-PN dengan mengelak pertembungan antara kedua-dua parti itu dianggap sebagai antara faktor utama kemenangan sehingga calon Parti Wawasan Negara yang bertanding atas tiket PN dan kali pertama menyertai pilihan raya pun boleh menang di tiga kawasan.

Bagi yang menang, tahniah tetapi kemenangan itu datang bersama amanah yang besar. Kerjasama BN-PN juga masih terlalu awal untuk dikatakan sebagai ‘sudah diterima rakyat’.

Namun, kemenangan itu wajar menjadi penyuntik semangat untuk BN bekerja lebih kuat untuk mengembalikan keyakinan rakyat. Ini merupakan kemenangan PRN yang kedua selepas Johor. Selepas ini, PRN Melaka pula menanti.

Walaupun tewas, undi PH sebenarnya tidak banyak merosot. Analisis menunjukkan jumlah undi keseluruhan yang gabungan itu peroleh adalah yang paling tinggi iaitu kira-kira 40 peratus.

Ini bermakna pengundi mereka masih setia, tetapi tidak cukup untuk menang dalam sistem pilihan raya yang digunakan di negara ini.

Walaupun undi popular tidak boleh dijadikan ukuran, tetapi ia patut menjadi peringatan kepada BN. Tidak boleh leka dan selesa. Apatah lagi BN masih belum mampu menawan hati sebahagian pengundi kaum Cina. Ia juga satu iktibar kepada PH untuk melihat kembali strategi pilihan raya yang digunakan dan menyusun strategi baharu.

Pengundi hari ini bukan seperti 20 tahun lalu. Mereka bukan menerima maklumat dari satu sumber sahaja. Sekarang ini, tiada kawasan yang boleh dianggap selamat bagi mana-mana parti. Hari ini, panglima perang tersohor pun boleh tersungkur jika mengambil mudah isu tempatan dan tidak peka sentimen semasa. Pengundi khususnya orang muda boleh berubah hati pada bila-bila masa.

Buat masa ini, berdamailah dengan takdir dan terimalah keputusan PRN ini dengan hati terbuka. Hormati pilihan pengundi Negeri Sembilan. Tidak sepatutnya ada kenyataan yang memperlekeh pilihan pengundi. Tidak perlu akaun-akaun palsu di media sosial untuk menyerang individu tertentu.

Tidak mudah menjadi kerajaan pada zaman sekarang ini. Selain menguruskan dan membangunkan negeri dan negara, kerajaan hari ini juga perlu bijak mengurus persepsi dan sentimen. Urus kawan dan lawan. Itulah cabarannya. Rakyat pula sentiasa memerhati. Nampak macam, lebih mudah menjadi pembangkang daripada jadi kerajaan.

Selamat bertugas Datuk Ismail Lasim.

The post Sebenarnya, jadi pembangkang lebih mudah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved