Sebut ‘kafir’, Persatuan Murut tuntut Shafie mohon maaf

LocalPolitics
10 Sep 2025 • 1:26 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tenom: Presiden Persatuan Murut Sabah (PMS), Datuk Rubin Balang, menyatakan kesal dengan kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, yang menimbulkan kontroversi dan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Murut di negeri ini.

Rubin berkata beliau menerima laporan daripada pelbagai pihak, termasuk persatuan-persatuan Murut di Sabah, yang tersinggung dengan ucapan Shafie dalam program parti di Kalang, Melalap baru-baru ini, yang menggunakan istilah “Kalau Kafir Murut”.

“Perkataan ‘kafir’ kepada masyarakat Murut sangat sensitif dan merupakan satu bentuk penghinaan terhadap etnik Murut secara keseluruhan.

“Ucapan tersebut tidak sepatutnya dilontarkan oleh seorang pemimpin politik yang memahami kepelbagaian budaya dan agama masyarakat Sabah, apatah lagi pernah memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau menegaskan, penggunaan istilah sebegini menyinggung banyak pihak, termasuk masyarakat Murut yang beragama Islam dan Kristian, kerana ia berpotensi menimbulkan kebencian dan menghina martabat sesuatu bangsa.

“Di Sabah dan Sarawak, masyarakat hidup dalam suasana berbilang agama dan etnik. Penggunaan istilah keras sebegini boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian,” tambahnya.

Rubin menekankan, walaupun istilah “kafir” mempunyai makna asal dalam konteks agama, ia tidak sepatutnya digunakan sehingga mengeruhkan perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah yang telah terjalin sekian lama.

“Menyebut sesuatu bangsa sebagai ‘kafir’ boleh dianggap penghinaan dan tidak menghormati identiti bangsa atau agama.

“Justeru, PMS menuntut Shafie memohon maaf kepada seluruh masyarakat Murut dan lebih berhati-hati dalam ucapan yang melibatkan agama dan bangsa,” tegasnya.

Di SIPITANG, Persatuan Masyarakat Murut Sipitang (PMMS) menuntut Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, memohon maaf secara terbuka selepas didakwa menggunakan istilah “Murut Kafir” terhadap etnik Murut dalam ucapannya di Melalap pada 7 September.

Dalam kenyataan rasmi bertarikh 8 September, PMMS menyifatkan ucapan itu menyinggung perasaan, mencemarkan maruah dan identiti etnik Murut serta berpotensi menimbulkan salah faham dan menggugat keharmonian antara kaum dan agama di Sabah.

“Sehubugan itu, PMMS menuntut Shafie selaku Presiden Parti Warisan agar memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Murt di Sabah.

“PMMS juga mahu semua pemimpin politik berhati-hati dalam ucapan yang melibatkan isu kaum dan agama, dan akan memantau serta mengambil langkah sewajarnya bagi mempertahankan maruah masyarakat Murut,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menekankan Sabah terkenal dengan keharmonian kaum dan agama, dan menentang sebarang kenyataan yang boleh merosakkan perpaduan masyarakat, terutamanya berkaitan 3R iaitu agama, raja dan kaum.