
KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara teknikalnya bukan lagi anggota Perikatan Nasional (PN) walaupun masih lagi sah dari sudut perundangan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia mengambil kira tindakan Bersatu yang memilih menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Dia masih ahli lagi dari segi legal, tetapi secara teknikalnya mereka bukan ahli PN selepas tIdak mahu guna logo kita (PN).
“Perlembagaan PN mempunyai peruntukan tindakan disiplin terhadap parti anggota termasuk kemungkinan menggantung, memecat atau mengeluarkan sesebuah parti daripada gabungan,” katanya selepas majlis Ceramah Isu Semasa dan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 di sini, malam tadi.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu bagaimanapun berkata, ketika ini PN belum membuat keputusan mengenai tindakan terhadap Bersatu.
Katanya, pertimbangan berhubung perkara itu sentiasa dibuat bagi menentukan pendekatan paling berkesan.
“Itu sedang kita fikirkan. Kita belum putuskan lagi dan pertimbangan itu sentiasa ada. Dalam PN pun ada parti lain. Dia ada tindakan disiplin.
“Kalau parti individu macam UMNO dan Pas, tindakan disiplin kepada ahli. Kalau gabungan ini tindakan disiplin terhadap ahli gabungan, parti gabungan,” ujarnya.
Beliau berkata, PN menjangkakan tindakan Bersatu secara berterusan boleh menyulitkan gabungan itu selepas parti berkenaan dianggap sudah tidak mahu bersama PN.
Katanya, PN sebelum ini masih memberi ruang kepada Bersatu menggunakan logo PN ketika PRN Johor, walaupun hubungan kerjasama dengan parti itu telah diputuskan.
“Di Negeri Sembilan pun dia nak guna logo Bersatu. Jika nak guna logo PN, mungkin kita akan bagi dia guna. Sebab itulah Tok Guru (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang) sebut dari segi politiknya seolah-olah dia ini nak keluar daripada PN. Kalau tidak, kenapa nak guna logo sendiri?” katanya. – UTUSAN
The post Secara teknikal Bersatu bukan lagi anggota PN – Takiyuddin appeared first on Utusan Malaysia.






