
PETALING JAYA – Kurangnya kesedaran keselamatan negara dalam kalangan masyarakat perlu diberi perhatian susulan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam.
Bekas Ketua Pengarah Perancang Strategi, Mejar Jeneral (B) Datuk Dr. Mohd. Radzi Abdul Hamid berkata, isu keselamatan negara bukan sekadar berkaitan aplikasi yang digunakan, sebaliknya turut bergantung pada cara pengguna memanfaatkan teknologi berkenaan.
Beliau turut menyuarakan sokongan terhadap larangan penggunaan Waze ke lokasi strategik negara dan berpandangan langkah itu sewajarnya diperluas kepada semua pihak, bukan hanya penjawat awam.
“Keselamatan negara tanggungjawab bersama! Kesedaran penggunaan aplikasi ini sangat penting. Kalau nak guna hanya untuk lokasi awam sahaja seperti pasar raya, taman permainan dan lain-lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook, Pena Celoreng, hari ini.
Beliau turut mengingatkan pengguna supaya tidak menetapkan destinasi ke lokasi strategik negara atau menyimpan lokasi berkenaan dalam aplikasi.
“Jangan sesekali set (tetapkan) untuk ke lokasi strategik negara dan jangan save (simpan). Dalam masa sama, jangan benar ia mengesan (allow) lokasi anda sama ada 24 jam atau semasa menggunakan aplikasi,” pesannya.
Mengulas persoalan seorang pengguna Facebook, Bukhari Abdullah yang mempersoalkan mengapa larangan itu hanya dikeluarkan sekarang sedangkan Waze sudah lama digunakan, Mohd. Radzi berkata, tahap kesedaran keselamatan masih perlu dipertingkatkan.
“Security minded (mementingkan keselamatan) kita kurang,” balasnya kepada komen tersebut.
Menjawab pandangan seorang lagi pengguna, Saifol Anwar Ab Rahman, beliau menjelaskan bahawa cabaran sebenar bukan semata-mata berpunca daripada aplikasi, sebaliknya cara ia digunakan, terutama apabila melibatkan keselamatan negara.
“Dalam bab keselamatan negara, kita kena faham tiga konsep penting iaitu threat (ancaman), vulnerability (kerentanan) dan risk (risiko),” katanya.
Terdahulu, kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berkuat kuasa serta-merta menerusi arahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam.
Arahan itu dibuat susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar sebelum ini turut menggalakkan rakyat Malaysia beralih kepada aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya sebagai alternatif. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Security minded kita kurang’ appeared first on Kosmo Online.





