SEDANIA catat keuntungan bagi FY2026, EBITDA melonjak 85 peratus

Business & Finance
28 Aug 2026 • 12:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SEDANIA catat keuntungan bagi FY2026, EBITDA melonjak 85 peratus
SEDANIA catat keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026), didorong prestasi pendapatan lebih kukuh susulan pertumbuhan berterusan segmen Teknologi Pengguna Lestari.

SEDANIA Innovator Berhad (SEDANIA) kembali mencatat keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026), didorong prestasi pendapatan lebih kukuh susulan pertumbuhan berterusan segmen Teknologi Pengguna Lestari.

Menurut SEDANIA, hasil Kumpulan meningkat tujuh peratus kepada RM87.76 juta berbanding RM81.91 juta manakala Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) melonjak 85 peratus kepada RM9.38 juta daripada RM5.07 juta.

Keuntungan operasi turut meningkat kepada RM7.24 juta berbanding RM0.50 juta manakala keuntungan selepas cukai (PAT) kembali positif pada RM4.29 juta, berbanding kerugian RM1.69 juta pada tahun sebelumnya.

Pengasas merangkap Pengarah Urusan SEDANIA Innovator Berhad, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, FY2026 mencerminkan perubahan jelas dalam trajektori pertumbuhan Kumpulan, dengan Teknologi Pengguna merekodkan pertumbuhan kukuh bagi setahun penuh selain mencatat pecutan ketara pada suku keempat.

“Teknologi Pengguna kini menjadi penyumbang yang semakin penting kepada pendapatan kami. Memasuki FY2027, keutamaan kami adalah untuk memanfaatkan momentum ini dan memperluaskan perniagaan secara berdisiplin,” katanya.

Tambah beliau, segmen Teknologi Pengguna menjadi pemacu utama pertumbuhan Kumpulan apabila hasil segmen meningkat 67 peratus kepada RM19.94 juta daripada RM11.91 juta manakala keuntungan operasi segmen melonjak lebih dua kali ganda kepada RM5.62 juta berbanding RM2.73 juta.

“Momentum pertumbuhan itu semakin ketara pada suku keempat FY2026 (4Q FY2026), apabila hasil Teknologi Pengguna meningkat 55 peratus berbanding suku sebelumnya kepada RM8.01 juta daripada RM5.17 juta.

“Jumlah itu juga lebih 160 peratus lebih tinggi berbanding suku sama tahun sebelumnya. Pertumbuhan berkenaan dipacu terutamanya oleh perniagaan teknologi kewangan (Fintech), disokong peningkatan jumlah transaksi serta penggunaan penyelesaian digital dan patuh Syariah Kumpulan, termasuk As Sidq dan Program GoHalal,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SEDANIA Innovator Berhad, Tun Md Raus Sharif berkata, fokus Kumpulan bagi FY2027 adalah jelas, iaitu memperluaskan perniagaan dalam segmen yang menunjukkan pertumbuhan struktur, sambil terus memperkukuh asas jenama penggunanya.

“Teknologi Pengguna menyediakan platform kukuh untuk fasa pertumbuhan SEDANIA seterusnya.

“Kami kekal fokus untuk merealisasikan peluang ini bagi mewujudkan nilai jangka panjang yang mampan untuk para pemegang saham,” katanya.

Pada masa sama, jenama Lestari terus memberikan skala kepada Kumpulan dengan menyumbang hasil sebanyak RM67.11 juta bagi FY2026, kekal stabil berbanding RM66.42 juta pada FY2025 dan terus menjadi penyumbang hasil terbesar Kumpulan.

Pada asas suku tahunan, hasil segmen itu meningkat 13 peratus kepada RM16.07 juta pada 4Q FY2026 daripada RM14.19 juta pada 3Q FY2026. Bagi FY2027, Teknologi Pengguna Lestari dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan Kumpulan.

SEDANIA akan memberi tumpuan kepada peluasan tawaran berteraskan teknologi dan patuh Syariah, memperkukuh kerjasama dalam ekosistem serta memperluaskan As Sidq dan Program Pembiayaan GoHalal.

Ia turut melihat peluang untuk terus memperluaskan segmen pembiayaan peribadi dan korporat, di samping meningkatkan aliran hasil berulang.

SEDANIA juga akan terus memperkukuh portfolio Jenama Lestari menerusi inovasi produk, pembinaan jenama serta peluasan pasaran dan rangkaian peruncitan secara terpilih.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved