
BERA – Satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan bagi melindungi Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) yang ada di negara ini bagi menentukan arah tuju, melindungi dan memulihara kawasan berkenaan.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, jawatankuasa khas itu perlu dianggotai pakar-pakar berkaitan untuk menasihat dan menilai kelestarian tapak Ramsar termasuk di Tasik Bera seluas 31,255 hektar.
“Sebelum ini ia dipantau oleh Perhilitan bersama pelbagai agensi lain dan mereka cuma perlu nasihat pakar.
“Rancangan Kawasan Khas Tasik Bera sedia ada menggariskan hala tuju pembangunan fizikal, pemuliharaan dan pengurusan guna tanah selain menumpukan kepada pembangunan eko-pelancongan mampan, pengurusan sumber air dan memelihara budaya Orang Asli Semelai,” katanya.
Baru-baru ini Kosmo! mendedahkan Hutan Simpan Kekal Ramsar Tasik Bera berdepan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar kawasan dikatakan diteroka secara haram dengan tanaman sawit dan getah serta pelbagai tanaman kontan lain.
Menurut Ahmad, Ramsar Tasik Bera diiktiraf pada 1994 dan merupakan tasik semula jadi air tawar yang terbesar di Malaysia.
Ramsar lain terdapat di Johor, Sarawak dan Sabah.
The post Segera tubuh jawatankuasa khas lindung tapak Ramsar appeared first on Kosmo Online.






