Segmen bahan binaan dan hartanah sumbang hasil RM842 juta kepada Chin Hin pada 3QFY2026

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 6:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Segmen bahan binaan dan hartanah sumbang hasil RM842 juta kepada Chin Hin pada 3QFY2026 Image from: Segmen bahan binaan dan hartanah sumbang hasil RM842 juta kepada Chin Hin pada 3QFY2026 liza26/11/2026 - 18:22 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov – Segmen bahan binaan dan pembangunan hartanah menyumbang hasil keseluruhan RM841.52 juta kepada Chin Hin Group Berhad bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026), merangkumi RM519.27 juta daripada bahan binaan dan RM322.25 juta daripada pembangunan hartanah.

 

Peningkatan itu didorong pengembangan operasi konkrit siap bancuh serta sumbangan lebih tinggi daripada perniagaan konkrit berudara autoklaf (AAC) dan konkrit pratuang. 

 

Sumbangan PBT daripada perniagaan AAC dan konkrit pratuang meningkat 40.5% kepada RM16.83 juta, manakala operasi konkrit siap bancuh menyumbang RM11.68 juta kepada keuntungan segmen berkenaan. Hasil segmen bahan binaan turut meningkat 1.6% kepada RM519.27 juta bagi suku berkenaan.

 

Pembangunan hartanah turut catat peningkatan

Sementara itu, segmen pembangunan hartanah mencatat peningkatan PBT sebanyak 46.6% kepada RM41.24 juta berbanding RM28.14 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil segmen itu meningkat 33.9% kepada RM322.25 juta daripada RM240.74 juta, disokong pengiktirafan hasil progresif yang lebih tinggi susulan kemajuan pembinaan beberapa projek termasuk Quaver, Ayanna, Andalan, Solarvest, Avantro, Aricia, Dawn dan Divine.

 

Setakat 30 September 2026, Chin Hin mempunyai jualan belum dibilkan (unbilled sales) sebanyak RM2.4 bilion, sekali gus menyediakan keterlihatan hasil apabila projek pembangunan berkenaan bergerak ke peringkat pembinaan dan tuntutan bayaran seterusnya.

 

Kejuruteraan pembinaan dan penyelesaian kediaman

Bagi segmen kejuruteraan pembinaan, PBT meningkat 24.1% kepada RM6.66 juta berbanding RM5.37 juta setahun sebelumnya, manakala hasil berkembang 3.9% kepada RM254.41 juta.

 

Segmen itu turut mempunyai buku tempahan kontrak belum dilaksanakan kira-kira RM1.72 bilion setakat 30 September 2026, dengan kumpulan memberi tumpuan kepada kawalan kos, penyampaian projek mengikut jadual dan penambahan kontrak secara terpilih.

 

Dalam segmen Home & Living, operasi dapur dan almari pakaian mencatat pertumbuhan hasil 18.4% kepada RM151.41 juta, manakala PBT meningkat 16.6% kepada RM20.62 juta.

 

Signature International Berhad pula mengekalkan tempahan tertunggak sekitar RM1.25 bilion, merangkumi RM1.08 bilion bagi sistem dapur dan almari pakaian serta RM168 juta untuk kerja-kerja kelengkapan dalaman.

 

Hasil kumpulan meningkat 8.6%

Secara keseluruhan, Chin Hin merekodkan peningkatan PBT sebanyak 28% kepada RM92.95 juta bagi 3QFY2026 berbanding RM72.60 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan meningkat 8.6% kepada RM1.17 bilion daripada RM1.07 bilion, manakala keuntungan kasar berkembang 24.6% kepada RM242.87 juta berbanding RM194.93 juta.

 

Margin keuntungan kasar turut meningkat kepada 20.84% berbanding 18.16% sebelumnya, mencerminkan peningkatan kecekapan operasi dan kawalan kos yang lebih baik.

 

Berbanding suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY2026), PBT kumpulan meningkat 84.3% daripada RM50.44 juta, disokong pengiktirafan hasil projek yang lebih tinggi, peningkatan prestasi operasi serta kerugian nilai saksama yang lebih rendah daripada pelaburan lain.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY2026), hasil kumpulan meningkat 5.7% kepada RM3.15 bilion berbanding RM2.98 bilion, manakala PBT berkembang 5.9% kepada RM211.43 juta daripada RM199.69 juta.

 

Keuntungan kasar bagi tempoh itu meningkat 11.7% kepada RM620.95 juta, dengan margin keuntungan kasar berkembang kepada 19.71% berbanding 18.65% setahun sebelumnya.

 

Pengerusi Eksekutif Chin Hin Group Berhad, Datuk Wira Chiau Haw Choon berkata, prestasi suku ketiga menunjukkan peningkatan sumbangan daripada perniagaan dalam ekosistem kumpulan, khususnya pembangunan hartanah dan operasi konkrit siap bancuh yang diperluaskan.

 

Beliau berkata, model perniagaan bersepadu kumpulan merangkumi bahan binaan, kejuruteraan pembinaan, pembangunan hartanah dan kelengkapan dalaman, sekali gus membolehkannya memenuhi permintaan industri terhadap kecekapan kos, penyampaian projek mengikut jadual serta penyelesaian kediaman menyeluruh.

 

Mengulas prospek, Chin Hin menjangkakan pelaksanaan projek infrastruktur, pelaburan perindustrian dan aktiviti pembinaan di Malaysia terus menyokong permintaan terhadap segmen bahan binaan serta kejuruteraan pembinaan.

 

Setakat 30 September 2026, kumpulan mempunyai tunai dan deposit tetap kira-kira RM884.86 juta, selain menjana aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi sebanyak RM43.47 juta bagi tempoh sembilan bulan. Nisbah hutang kepada ekuiti bersih kumpulan dianggarkan pada 0.58 kali berbanding 0.53 kali setakat 31 Disember 2025. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved