liza25/11/2026 - 14:41 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov – Pekat Group Berhad mencatat peningkatan hasil sebanyak 24.3% kepada RM520.77 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9M FY26) disokong pertumbuhan merentasi semua segmen perniagaannya khususnya perdagangan serta sistem pembumian dan perlindungan kilat.
Hasil Pekat meningkat kepada RM520.77 juta berbanding RM419.01 juta pada tahun sebelumnya. Segmen perdagangan mencatat pertumbuhan tertinggi sebanyak 89.6% kepada RM85.46 juta.
Segmen sistem pembumian dan perlindungan kilat turut menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 58.6% kepada RM75.69 juta manakala peralatan pengagihan kuasa meningkat 23.2% kepada RM120.75 juta.
Sementara itu, segmen solar fotovoltaik (PV) kekal sebagai penyumbang hasil terbesar kumpulan dengan RM238.88 juta, meningkat 4.7% berbanding RM228.23 juta pada 9M FY25.
Segmen perdagangan, perlindungan kilat catat pertumbuhan tertinggi
Dalam laporan kewangan suku ketiga yang difailkan kepada Bursa Malaysia, Pekat berkata peningkatan hasil kumpulan disokong kemajuan pelaksanaan projek serta peningkatan jumlah jualan perdagangan.
“Pertumbuhan segmen perdagangan turut mencerminkan peningkatan jualan komponen elektrik dan peralatan berkaitan, manakala segmen sistem pembumian dan perlindungan kilat mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek yang lebih baik.
“Bagi segmen peralatan pengagihan kuasa, peningkatan hasil pula disokong pemenuhan pesanan jualan yang lebih tinggi dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Dari segi keuntungan, kumpulan merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM44.03 juta bagi 9M FY26, meningkat 16.1% daripada RM37.91 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Permintaan pusat data, pelaburan grid buka peluang baharu
Mengulas prospek, Pekat berkata peralihan tenaga negara, peningkatan permintaan elektrik serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur kuasa dijangka menyokong peluang perniagaannya.
Kumpulan menjangkakan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) menyediakan peluang tambahan kepada perniagaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar, manakala program Solar Berskala Besar fasa keenam (LSS6) yang merangkumi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) boleh menggalakkan penyelesaian solar bersama penyimpanan tenaga.
Selain itu, peningkatan permintaan elektrik daripada pusat data dan perkembangan sektor perindustrian dijangka mendorong pelaburan lanjut dalam infrastruktur kuasa, sekali gus menyediakan peluang kepada segmen peralatan pengagihan kuasa serta sistem pembumian dan perlindungan kilat.
Pekat turut merujuk peruntukan pelaburan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM15 bilion di bawah Belanjawan 2027 bagi memperkukuh Grid Nasional dan meningkatkan kapasiti bekalan elektrik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, termasuk daripada pusat data dan ekonomi digital.
Dalam perkembangan berkaitan, loji solar PV kumpulan berkapasiti 29.99 megawatt arus ulang-alik (MWac) di Tronoh, Perak mula beroperasi secara komersial pada Ogos 2026 di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP). Loji berkenaan dijangka menjana kira-kira 77 gigawatt jam (GWh) tenaga boleh baharu setahun sepanjang tempoh konsesi 21 tahun.
Bagaimanapun, Pekat berkata kumpulan kekal mengambil kira tekanan persaingan, perubahan kawal selia, risiko pelaksanaan projek serta turun naik kos.
Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek secara berdisiplin, pengurusan kos berhemat dan kecekapan operasi bagi merebut peluang perniagaan yang berdaya maju.
Lembaga Pengarah kekal optimis secara berhati-hati terhadap prestasi kumpulan bagi baki tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, sekiranya tiada keadaan luar jangka. - DagangNews.com





