hamden25/11/2026 - 17:43 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov – IGB Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 13% kepada RM521.2 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), disokong pertumbuhan sumbangan daripada segmen peruncitan, komersial dan pembangunan hartanah.
Peningkatan hasil daripada RM460.3 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya itu turut menyumbang kepada kenaikan keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan sebanyak 16% kepada RM236.6 juta berbanding RM204.3 juta.
Antara penyumbang utama pertumbuhan ialah segmen pembangunan hartanah yang mencatatkan lonjakan hasil sebanyak 146% kepada RM50.9 juta berbanding RM20.7 juta, manakala PBT meningkat kepada RM17.8 juta daripada RM2 juta.
Prestasi itu didorong sumbangan berterusan daripada jualan unit kediaman dalam projek The Batai di Bukit Damansara.
Dalam segmen peruncitan menerusi IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT), jumlah hasil meningkat kepada RM249.3 juta berbanding RM239.5 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) bertambah 13% kepada RM138.1 juta daripada RM122.4 juta.
Peningkatan itu masing-masing sebanyak 4% dan 13%, didorong terutamanya pendapatan sewa lebih tinggi merentasi portfolio kumpulan.
Segmen komersial yang diwakili terutamanya IGB Commercial REIT turut mencatatkan prestasi lebih baik apabila jumlah hasil meningkat 14% kepada RM73.4 juta berbanding RM64.2 juta.
PAT segmen itu melonjak 56% kepada RM22.5 juta daripada RM14.4 juta, disokong kadar penghunian lebih baik, peningkatan kadar sewa purata serta kos pembiayaan lebih rendah.
Sementara itu, segmen hotel merekodkan peningkatan hasil 6% kepada RM100.8 juta berbanding RM95.4 juta, didorong kadar penghunian lebih tinggi dan peningkatan kadar bilik purata.
Bagaimanapun, PBT segmen itu susut kepada RM42 juta berbanding RM45.1 juta, terutamanya disebabkan sumbangan lebih rendah daripada sebuah syarikat bersekutu susulan pelupusan pelaburan dan penjualan perniagaannya pada suku pertama 2026.
Dalam perkembangan lain, Lembaga Pengarah IGB Berhad meluluskan dividen tunai interim sebanyak 7.50 sen bagi setiap saham biasa, selain pengagihan dividen saham secara berkadar pada nisbah satu saham perbendaharaan bagi setiap 41 saham biasa sedia ada yang dipegang pemegang saham.
Prospek
Mengulas prospek, IGB Berhad berkata momentum makroekonomi Malaysia terus mengukuh pada suku ketiga 2026, dengan Bank Negara Malaysia mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi tahun penuh melebihi 5%.
Walaupun perubahan dinamik politik global dan pelarasan kos secara berperingkat masih berterusan, inflasi kekal terkawal, sekali gus menyediakan asas berdaya tahan kepada portfolio kumpulan untuk menguruskan tekanan pasaran dan mengekalkan prestasi keseluruhan.
Bagaimanapun, kumpulan kekal mengambil kira peningkatan tekanan kos dalam industri secara keseluruhan dan sedang menguruskan cabaran berkenaan secara aktif bagi melindungi margin pembangunan serta memacu pertumbuhan pada masa hadapan. - DagangNews.com





