Sehari 10 PATI ditangkap di Kelantan, warga Myanmar paling ramai

29 Oct 2026 • 9:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sehari 10 PATI ditangkap di Kelantan, warga Myanmar paling ramai
Mohd Yusoff (kanan, duduk) semasa sidang akhbar selepas melakukan tinjauan ke perairan di Sungai Kelantan di Tumpat serta Kota Bharu. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

TUMPAT - Purata 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap setiap hari di Kelantan, dengan warga Myanmar menjadi kumpulan paling ramai ditahan sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, seramai 4,873 PATI ditahan pelbagai agensi penguat kuasa dalam tempoh 10 bulan berkenaan, sekali gus melepasi jumlah tangkapan sepanjang tahun lalu.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, warga Myanmar mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 1,977 orang, diikuti Bangladesh (899), Indonesia (740) dan Thailand melebihi 600 orang.

"Kalau kita bahagi dengan 300 hari bagi tempoh 10 bulan ini, maknanya 10 orang sehari kita tangkap. Bukan kita tak tangkap, 10 orang sehari kita tangkap," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu beliau melakukan tinjauan ke perairan di Sungai Kelantan di sini serta Kota Bharu yang dipercayai menjadi laluan baharu penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini selepas pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok ditutup sepenuhnya sejak 1 Disember 2024.

Beliau memberitahu, daripada keseluruhan tangkapan itu, Polis Kelantan merekodkan 3,299 tangkapan, diikuti Pasukan Gerakan Am (PGA) seramai 811 orang, Jabatan Imigresen Malaysia (358), Angkatan Tentera Malaysia (177) dan Pasukan Polis Marin (72), selain agensi lain.

Menurutnya, operasi kawalan sempadan dilaksanakan secara berterusan menerusi kerjasama pelbagai agensi bagi membanteras kemasukan PATI ke negeri ini.

Ujar Mohd Yusoff, tangkapan di daerah yang bersempadan dengan Thailand, termasuk Kota Bharu, melebihi 3,100 orang.

Beliau berkata, jumlah tangkapan PATI pada 2024 ialah 3,689 orang sebelum meningkat kepada 4,166 orang pada 2025.

"Sehingga Oktober tahun ini sahaja, jumlah tangkapan sudah melebihi keseluruhan tahun lalu," katanya.

Mengulas mengenai warga Myanmar yang ditahan, menurut Mohd Yusoff, pihak polis tidak dapat mengesahkan kesemuanya etnik Rohingya kerana sebahagian mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Jelasnya, individu yang dikenal pasti berasal dari Myanmar direkodkan mengikut negara berkenaan apabila status etnik mereka tidak dapat dipastikan.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak boleh ditahan semata-mata kerana status pelarian, namun tindakan boleh diambil sekiranya mereka melakukan kesalahan di bawah undang-undang imigresen atau jenayah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved