
KUALA LUMPUR: Pelakon dan selebriti media sosial, Bella Astillah, berpandangan keikhlasan sesebuah persahabatan tidak seharusnya diukur berdasarkan kekerapan seseorang itu bersama atau muncul dalam hantaran media sosial.
Menurut Bella, persahabatan yang tulen tidak memerlukan pengiktirafan umum, apatah lagi perlu dibuktikan dengan memaparkan setiap pertemuan atau momen bersama kepada khalayak.
Katanya, hubungan persahabatan yang sebenar lebih berlandaskan keikhlasan, saling menghormati dan kesetiaan, biarpun masing-masing mempunyai kehidupan, kerjaya, keluarga serta komitmen tersendiri.
“Apa sebenarnya nilai persahabatan pada pandangan anda? Adakah sahabat baik hanya dianggap sahabat baik apabila sentiasa bersama, sentiasa muncul dalam hantaran dan sentiasa ditunjukkan kepada semua orang?
”Dan sejak bila pula apabila kita bercakap mengenai pengiring pengantin, semuanya mesti terdiri daripada individu popular atau artis? Saya lebih memilih persahabatan yang tulen dan ikhlas,”katanya di Threads.
Tunang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq ini berkata, dia sememangnya mempunyai rakan dalam industri seni yang sangat dihormati dan disayangi, namun kesibukan serta komitmen masing-masing menyebabkan mereka tidak dapat sentiasa meluangkan masa bersama.
“Sudah tentu ada rakan dalam industri yang sangat saya hormati dan sayangi. Namun, masing-masing mempunyai kehidupan sendiri, pekerjaan, keluarga, komitmen dan kesibukan masing-masing.
”Tidak semestinya kita perlu sentiasa bersama atau sentiasa muncul di media sosial untuk membuktikan sesuatu.
“Pada usia sekarang, saya rasa kita sudah cukup matang untuk memahami bahawa hubungan yang paling ikhlas tidak semestinya paling ketara. Ada rakan yang kita bercakap setiap hari, ada yang tinggal beribu-ribu kilometer jauhnya dan ada juga yang mungkin berbulan-bulan tidak berjumpa. Namun, apabila bertemu, hubungan itu tetap sama,”ujarnya.
Selain itu, Bella berkata, media sosial hanya memperlihatkan sebahagian kecil kehidupan seseorang dan tidak semua perkara yang bermakna perlu dikongsi untuk tatapan umum.
“Media sosial hanya menunjukkan sebahagian kecil daripada kehidupan seseorang. Tidak semua perkara yang bermakna memerlukan perhatian orang ramai dan tidak semua persahabatan memerlukan bukti untuk tatapan umum.
“Ada kalanya, persahabatan yang paling kukuh ialah hubungan yang terjalin secara sederhana tanpa memerlukan pengiktirafan daripada orang luar,”katanya.
Dalam pada itu, Bella turut menzahirkan penghargaan kepada sahabat-sahabatnya, termasuk Balqish, Affa, Chut, Biha, Tya, Syamim, Adik, Kak Emma dan Kak Yayang, yang sentiasa menjaga hubungan persahabatan mereka.
Bella turut mengakui masih ramai sahabat lain yang sentiasa berada di hatinya dan tidak pernah dilupakan, terutama mereka yang pernah membantunya ketika melalui detik sukar.
“Ramai lagi sahabat yang sentiasa ada di hati dan saya tidak akan melupakan jasa baik sahabat-sahabat lain yang membantu saya ketika saya berada dalam keadaan sukar. Mereka tahu siapa diri mereka,”katanya.
The post Sejak bila pula pengiring pengantin mesti terdiri daripada individu popular atau artis? – Bella Astillah appeared first on Utusan Malaysia.






