
PETALING JAYA – Peminat Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atau dikenali sebagai ‘Team BASS’ semakin berdebar menantikan pengumuman eksklusif membabitkan kedua-duanya, esok.
Menerusi satu pengumuman dibuat sebuah program siaran langsung sebelum ini, Bella dan Syed Saddiq bakal hadir secara eksklusif pada pukul 9 malam esok bagi berkongsi satu pengumuman istimewa bersama rakyat Malaysia.
Menambahkan lagi tanda tanya, tanda pagar #BellaSyedYes turut digunakan dalam hebahan berkenaan sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat mengenai perkara yang bakal diumumkan.
Tinjauan Kosmo! di Threads mendapati rata-rata peminat mengakui tidak sabar menunggu pengumuman tersebut selain turut mendoakan yang terbaik buat Bella dan Syed Saddiq.
“Kita yang tengok pun turut bahagia dan gembira dengan mereka BASS. Tak sabar tunggu pengumuman esok, berdebar sebenarnya,” kata Aimi.
Seorang lagi pengguna turut berteka-teki bahawa pengumuman tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan perancangan perkahwinan kedua-duanya.
“Esok jangan lupa BASS ada buat pengumuman eksklusif pukul 9 malam. Mungkin nak umum tarikh nikah,” kata Raisya.
Sementara itu, ada juga peminat yang berseloroh terlalu teruja sehingga sanggup mengubah rutin harian semata-mata mahu menyaksikan pengumuman berkenaan secara langsung.
“Dah lama ini… beritahulah awal-awal, nak ambil cuti tengok siaran langsung ini,” seloroh Guyti.
Tidak kurang juga yang menyifatkan Bella kelihatan berseri selepas rakaman memaparkan dia bersama Syed Saddiq dalam persalinan serba putih ketika menjalani satu sesi fotografi turut menjadi perhatian.
“Masya-Allah, seri bakal pengantin manis sungguh. Ya Allah, lindungi kedua-dua bakal mempelai ini,” tulis Ewan.
Sebelum ini, Syed Saddiq mengesahkan tarikh pernikahannya dengan Bella sudah dipersetujui kedua-dua keluarga, namun belum bersedia untuk diumumkan kepada umum.
Menurutnya, setakat ini hanya ahli keluarga terdekat dan beberapa kenalan rapat dimaklumkan mengenai tarikh berkenaan bagi menghormati keluarga sebelum pengumuman rasmi dibuat. – KOSMO! ONLINE
The post Team BASS tak senang duduk, tunggu pengumuman esok appeared first on Kosmo Digital.






