
PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) menjadi pelabuhan pertama di Malaysia yang mengoperasikan prime mover (pengangkut kontena) elektrik (e-PM), sekali gus memperkukuh usaha industri maritim negara ke arah operasi lebih mampan dan rendah karbon.
Sebanyak 21 e-PM yang dibekalkan Terberg Tractors Malaysia (TTM) mula beroperasi pada 11 Ogos lalu bagi menyokong pergerakan kontena dalam terminal.
Pelaksanaan itu merupakan fasa pertama daripada 52 e-PM yang diperoleh PTP menerusi perjanjian pembelian bersama TTM yang dimeterai pada Disember 2025.
Baki 31 unit akan dihantar secara berperingkat sehingga akhir September ini, sekali gus melengkapkan keseluruhan armada elektrik berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Loke Siew Fook berkata, langkah PTP itu membuktikan keupayaan Malaysia mengikuti perkembangan global dalam peralihan kepada penggunaan tenaga elektrik di sektor pelabuhan.
Beliau berkata, pencapaian berkenaan lebih bermakna apabila e-PM itu dihasilkan secara tempatan oleh TTM di Pasir Gudang, Johor, sekali gus mencerminkan keupayaan tenaga kerja dan sektor pembuatan negara.
“PTP sekali lagi mencatat pencapaian membanggakan dengan menetapkan penanda aras baharu bagi industri maritim negara.
“Pelabuhan di seluruh dunia sedang mempercepat peralihan kepada elektrifikasi dan saya gembira melihat pelabuhan Malaysia, dengan PTP di barisan hadapan, terus mengikuti perkembangan global,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, penggunaan e-PM bukan sekadar memenuhi sasaran kelestarian, malah menjadi sebahagian daripada program pengembangan jangka panjang pelabuhan berkenaan.
Menurutnya, program tersebut dijangka meningkatkan kapasiti pengendalian PTP kepada 16.3 juta unit setara dua puluh kaki (TEU) setahun menjelang 2029.
“Kajian Proof of Concept (PoC) yang dijalankan antara 2023 hingga 2024 menunjukkan penggunaan e-PM mampu mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 48 peratus berbanding prime mover konvensional.
“e-PM menghasilkan kira-kira 4,000 kilogram karbon dioksida setara (kgCO₂eq) sebulan berbanding 7,600 kgCO₂eq bagi unit konvensional. Pada masa sama, kos operasi bulanan bagi setiap unit turut berkurang sebanyak 57 peratus,” katanya.
Hardiman berkata, PTP menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 sebelum mencapai sasaran pelepasan bersih sifar pada 2050.
Tambahnya, usaha elektrifikasi turut dilaksanakan terhadap peralatan lain termasuk kren gantri tayar getah (e-RTG), dengan sebanyak 245 unit kini beroperasi di PTP.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TTM, Boo Wei Ching berkata, pihaknya berbangga dapat menyokong agenda kelestarian PTP menerusi penghasilan e-PM tempatan.
“Pasukan TTM turut bekerjasama rapat dengan PTP dalam proses ujian, pentauliahan dan persediaan operasi bagi memastikan setiap unit mampu beroperasi dengan baik dalam persekitaran terminal yang mencabar,” katanya.
PTP turut meneruskan usaha memperkukuh infrastruktur hijau dan kerjasama antarabangsa termasuk menerusi inisiatif GreenVoyage2050 kendalian Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Australian Partnerships for Infrastructure (P4I) serta memorandum persefahaman dengan Port of Melbourne berkaitan operasi pelabuhan mampan. – UTUSAN
The post PTP pelabuhan pertama Malaysia guna pengangkut kontena elektrik appeared first on Utusan Malaysia.





