sarah20/11/2026 - 09:13 Gambar hiasan pembangunan Sunway Construction Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov - Sunway Construction Group Bhd (SunCon) berpotensi mendapat lebih banyak peluang pembinaan pusat data di Malaysia susulan sekatan teknologi cip Amerika Syarikat (AS) terhadap China yang boleh memperlahankan pengembangan pusat data disokong syarikat China, menurut penganalisis.
MBSB Research berkata, sekatan berkenaan berkemungkinan membebaskan sebahagian kapasiti bekalan elektrik dan air untuk digunakan oleh pengendali pusat data lain, khususnya syarikat teknologi besar AS yang merupakan pelanggan utama SunCon.
Menurut firma penyelidikan itu, projek pusat data yang sudah mendapat komitmen dijangka diteruskan mengikut jadual dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang, mengambil kira pengecualian lesen import cip yang dilaporkan diberikan kepada kumpulan beribu pejabat di AS.
Sementara itu, BIMB Securities Research (BIMB Securities) berpandangan bahawa cadangan peraturan pelesenan AS terhadap perkhidmatan pengkomputeran menggunakan cip pemproses grafik (GPU) bagi pasaran tertentu, termasuk China, boleh melambatkan pembangunan pusat data berkaitan China dan membuka ruang kepada pengendali AS untuk meningkatkan kapasiti mereka di Malaysia.
Projek pusat data lebih 600MW dalam proses bidaan
Menurut BIMB Securities, kapasiti pusat data yang sedang dibangunkan oleh SunCon meningkat kepada 395 megawatt (MW) berbanding 330MW pada suku kedua 2026, manakala projek berkapasiti lebih 600MW lagi masih dalam proses bidaan.
Firma itu berkata, nilai projek yang sedang dibida SunCon turut meningkat kepada RM15.7 bilion daripada RM14.2 bilion pada suku sebelumnya, sekali gus menyediakan peluang untuk kumpulan menambah kontrak baharu menjelang 2027.
MBSB Research pula berkata, projek pusat data menyumbang 76% daripada keseluruhan buku tempahan SunCon bernilai RM12.45 bilion, manakala 92% daripada kontrak baharu bernilai RM9.8 bilion yang diperoleh setakat tahun ini datang daripada sektor berkenaan.
Bagaimanapun, MBSB Research mengingatkan bahawa kawalan cip yang semakin ketat, ketidaktentuan mengenai peneraju teknologi kecerdasan buatan (AI) serta penelitian terhadap pulangan pelaburan AI boleh menyebabkan sebahagian fasa pengembangan pusat data yang belum mendapat komitmen pembiayaan ditangguhkan dalam jangka panjang.
Keuntungan SunCon dijangka meningkat pada 2027
BIMB Securities mengunjurkan keuntungan bersih teras SunCon meningkat kira-kira 39% kepada RM584 juta pada 2027, disokong pelaksanaan kontrak baharu, manakala MBSB Research menjangkakan keuntungan bersih teras sebanyak RM552.1 juta bagi tempoh sama.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, SunCon mencatatkan keuntungan bersih dilaporkan sebanyak RM105.1 juta, meningkat 25.4% berbanding RM83.8 juta setahun sebelumnya, walaupun hasil merosot 25.8% kepada RM1.07 bilion daripada RM1.45 bilion. Margin keuntungan sebelum cukai turut meningkat kepada 12.6% daripada 8.8%.
Dua firma penyelidikan kekalkan saranan beli
BIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM10.63 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan 41.7% berbanding harga RM7.50 pada 19 November 2026, selain melihat kedudukan tunai bersih RM1.42 bilion sebagai ruang untuk pembayaran dividen khas tambahan.
MBSB Research turut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM9.28 sesaham, mengambil kira buku tempahan yang kukuh, prospek pertumbuhan pendapatan serta jangkaan pulangan dividen yang menarik, walaupun firma itu mengurangkan unjuran keuntungan bagi 2026 dan 2027 masing-masing sebanyak 6.2% dan 1.1%.- DagangNews.com





