sarah19/11/2026 - 09:25 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov - TSH Resources Bhd berdepan tekanan terhadap prospek keuntungan dan pengeluaran minyak sawit susulan ketidaktentuan peraturan perladangan di Indonesia serta cuaca kering di Kalimantan, walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka lebih kukuh pada 2027.
MBSB Research berkata, ketidaktentuan berkaitan undang-undang agraria Indonesia dan siasatan kebakaran serta jerebu yang masih berlangsung boleh menjejaskan pengeluaran TSH di negara itu, sekali gus mengehadkan potensi kenaikan harga sahamnya dalam tempoh terdekat.
RHB Research pula mengambil kira diskaun risiko kawal selia sebanyak 15% dalam penilaiannya terhadap TSH, memandangkan syarikat itu turut berdepan siasatan berkaitan kebakaran dan jerebu di Singapura serta Indonesia, selain ketidakjelasan mengenai peraturan tanah perladangan.
Denda RM42.5 juta jejaskan keuntungan
Menurut BIMB Securities Research, anak syarikat TSH yang dimiliki sebanyak 90%, PT SPMN, dikenakan denda pentadbiran sekali sahaja berjumlah RM42.5 juta oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung aktiviti perladangan di kawasan di luar hak penggunaan tanah yang diluluskan.
Denda berkenaan menjadi antara faktor utama keuntungan bersih TSH yang boleh diagihkan kepada pemegang saham merosot 68.5% kepada RM17.8 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2026, berbanding RM56.4 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, BIMB Securities berkata, keuntungan teras TSH yang tidak mengambil kira perkara luar biasa, terutamanya denda tersebut, sebenarnya meningkat 10% berbanding suku sebelumnya kepada RM55.5 juta, disokong peningkatan jumlah jualan dan harga MSM yang lebih kukuh.
Cuaca kering ancam pengeluaran 2027
BIMB Securities turut memberi amaran bahawa cuaca kering sejak Julai lalu mula menjejaskan hasil pengeluaran buah tandan segar (BTS) TSH, khususnya di Kalimantan yang merangkumi kira-kira dua pertiga daripada kawasan perladangannya di Indonesia.
Pengeluaran BTS kumpulan pada Oktober susut 10% berbanding September kepada 65,991 tan, menjadikan pengeluaran bagi 10 bulan pertama 2026 sebanyak 658,036 tan, iaitu 2.1% lebih rendah berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
RHB Research berkata, walaupun pengurusan TSH menyasarkan pertumbuhan pengeluaran BTS sebanyak 5% pada 2027 sekiranya taburan hujan kembali normal, firma itu mengekalkan unjuran lebih berhati-hati berikutan risiko kesan fenomena El Niño terhadap hasil tanaman.
Kos baja dan harga MSM jadi tumpuan
RHB Research turut menjangkakan tekanan kos apabila TSH masih perlu melengkapkan baki 38% keperluan pembajaan tahunannya pada suku keempat, sedangkan kos baja dianggarkan meningkat 10% pada 2026 dan berpotensi bertambah 17% lagi pada 2027.
Namun, firma itu melihat peluang kepada TSH untuk mendapat manfaat daripada kenaikan harga MSM pada separuh pertama 2027 kerana syarikat berkenaan tidak menjalankan jualan hadapan, membolehkannya menikmati harga pasaran yang lebih tinggi sekiranya unjuran tersebut menjadi kenyataan.
Susulan risiko berkenaan, MBSB Research menurunkan harga sasaran TSH kepada RM1.20 daripada RM1.28 dengan saranan 'neutral', BIMB Securities mengurangkannya kepada RM1.22 daripada RM1.46 dengan saranan 'pegang', manakala RHB Research menurunkan sasaran kepada RM1.25 daripada RM1.45 tetapi mengekalkan saranan 'beli'.- DagangNews.com






