sarah20/11/2026 - 09:32 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov - Petronas Gas Bhd (PetGas) sedang meneroka peluang membekalkan tenaga elektrik secara terus kepada pengendali pusat data, sekali gus membuka ruang pertumbuhan baharu ketika permintaan tenaga daripada industri digital semakin meningkat.
Menurut BIMB Securities Research, syarikat itu sedang mengadakan perbincangan awal dengan beberapa bakal pelanggan pusat data bagi memahami keperluan penggunaan elektrik mereka, termasuk kemungkinan menyediakan penyelesaian tenaga yang tidak bergantung sepenuhnya kepada bekalan grid utama.
Firma penyelidikan itu berkata, PetGas berpotensi memanfaatkan rangkaian infrastruktur gas, kepakaran pengendalian utiliti serta keupayaan menyediakan penyelesaian tenaga bersepadu yang merangkumi penyimpanan tenaga menggunakan bateri, tenaga boleh diperbaharui dan sistem penyejukan.
Bagaimanapun, BIMB Securities menegaskan bahawa perbincangan tersebut masih pada peringkat awal dan belum ada kepastian mengenai pelaksanaan projek atau sumbangan kewangan daripada peluang perniagaan berkenaan.
Projek baharu dijangka tambah sumber pendapatan
Selain pusat data, BIMB Securities berkata, beberapa projek pembangunan PetGas sedang menghampiri peringkat operasi, termasuk kemudahan pengasingan udara di Pengerang yang menggunakan tenaga sejuk daripada gas asli cecair (LNG), dengan operasi komersial disasarkan bermula sebelum akhir November 2026.
Syarikat itu turut meneruskan pembangunan terminal regasifikasi ketiga (RGT3), manakala projek sambungan gentian optik PG Linkaran telah memperoleh dua kontrak pelanggan jangka panjang pertama dan menyasarkan kesediaan perkhidmatan menjelang suku pertama 2027.
Di Sabah, loji Kimanis 2 dan Sipitang sedang melalui proses persediaan serta pengujian sebelum memulakan operasi, sementara kajian kebolehlaksanaan biometana bersama Shell Energy Malaysia dan rakan industri lain dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.
Permintaan gas meningkat susulan gangguan loji arang batu
Dalam perkembangan operasi, BIMB Securities berkata, jumlah gas yang disalurkan daripada terminal regasifikasi PetGas meningkat kepada 627 juta kaki padu standard sehari pada suku ketiga 2026, berbanding 481 juta kaki padu standard sehari pada suku sebelumnya dan 325 juta kaki padu standard sehari setahun lalu.
Peningkatan itu didorong permintaan lebih tinggi daripada sektor penjanaan elektrik berikutan gangguan operasi beberapa loji janakuasa arang batu, sekali gus meningkatkan keperluan penggunaan gas untuk menjana elektrik.
Keuntungan meningkat tetapi kos bahan api beri tekanan
Dari segi prestasi kewangan, PetGas mencatatkan keuntungan bersih RM630.5 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, meningkat 41.9% berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala hasil menyusut 0.7% kepada RM1.61 bilion. BIMB Securities menganggarkan keuntungan teras sebanyak RM495.5 juta selepas mengambil kira pelarasan item sekali sahaja, termasuk penyelesaian tunggakan bayaran oleh sebuah syarikat usaha sama.
Bagaimanapun, MBSB Research menjangkakan prestasi suku keempat lebih sederhana berikutan peningkatan kerja penyelenggaraan, ketiadaan keuntungan sekali sahaja kira-kira RM150 juta daripada usaha sama serta tekanan kos bahan api. Firma itu turut melihat pertumbuhan pendapatan PetGas berpotensi terbatas sehingga semakan tarif kawal selia seterusnya pada 2029.
BIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap PetGas dengan harga sasaran RM19.52 sesaham, disokong kestabilan pendapatan perniagaan pengangkutan gas dan regasifikasi. Sebaliknya, MBSB Research menurunkan saranan kepada 'neutral' daripada BELI serta mengurangkan harga sasaran kepada RM17.95 daripada RM19.25, mengambil kira prospek pertumbuhan yang terhad dan peningkatan perbelanjaan modal. - DagangNews.com





