
Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita kerana di situlah tempat mereka mula menimba ilmu, berkawan dan membina masa depan.
Namun, kebelakangan ini, kejadian mengenai keganasan, buli, malah pembunuhan melibatkan pelajar mula menular ke institusi itu.
Kes terbaharu di Johor Sabtu lalu membabitkan kes bunuh seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di Yong Peng telah mengejutkan banyak pihak.
Sebelum itu, pada 14 Oktober 2025, seorang pelajar perempuan juga tingkatan 4, berusia 16 tahun maut ditikam di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Dua kejadian ini, selain banyak lagi kes buli atau keganasan yang berlaku di sekolah telah mengundang persoalan besar kepada kita. Apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam kalangan anak-anak kita?
Apa yang menyedihkan, kejadian keganasan ini berlaku di institusi yang sepatutnya mendidik anak-anak kita menjadi manusia yang lebih beradab dan berilmu. Sekolah seharusnya bukan gelanggang untuk menyelesaikan dendam atau kemarahan sehingga nyawa menjadi taruhan.
Jujurnya kita tidak boleh melihat kejadian-kejadian yang berlaku ini sebagai kes-kes terpencil semata-mata. Sebaliknya insiden ini perlu menjadi peringatan dan membuka mata kita semua bahawa ada sesuatu yang tidak kena dan ia perlu ditangani secara serius.
Sama ada ia melibatkan kawalan emosi, hubungan rakan sebaya, pengawasan, buli atau tekanan yang dihadapi pelajar, isu ini tidak boleh dipandang ringan.
Dalam banyak keadaan, tanda-tanda awal mungkin sudah wujud. Perubahan tingkah laku, pergaduhan, ugutan, buli dan kecenderungan mengasingkan diri tidak seharusnya dianggap sekadar ‘perangai budak-budak’.
Kadangkala, itulah bahasa yang digunakan oleh anak-anak yang sedang bergelut dengan sesuatu yang tidak mampu mereka luahkan.
Hakikatnya, permasalahan ini seharusnya tidak boleh diletakkan di bahu guru semata-mata, sebaliknya tanggungjawab menjaga keselamatan anak-anak mesti dipikul secara bersama meliputi ibu bapa, keluarga, sekolah dan masyarakat.
Ibu bapa perlu lebih peka dengan permasalahan anak-anak. Tanya kepada anak tentang sekolah, kenali siapa rakannya, adakah dia dibuli atau pernah melihat rakannya dibuli.
Kadangkala satu soalan yang mudah boleh membongkar kepada permasalahan yang besar.
Kerajaan pula perlu memastikan mekanisme pencegahan benar-benar berfungsi, bukan sekadar diumumkan selepas tragedi berlaku.
Kaunselor yang mencukupi, saluran aduan yang dipercayai pelajar, pengurusan kes buli yang tegas dan sistem amaran awal perlu bergerak sebagai satu rangkaian.
Kita juga perlu berhenti menganggap keganasan sebagai perkara biasa hanya kerana pelakunya masih remaja. Usia muda bukan lesen untuk mencederakan orang lain.
Dalam masa yang sama, hukuman terhadap pelaku mesti tegas, tetapi tidak mengabaikan faktor pendidikan, pemulihan dan punca yang membawa kepada tingkah laku ganas.
Sampai masanya untuk kita bermuhasabah dengan apa yang berlaku di Yong Peng. Jangan tunggu sampai satu lagi nyawa melayang untuk kita bertindak.
Setiap tragedi yang berlaku di sekolah sepatutnya memaksa kita bertanya bukan sahaja siapa yang bersalah, tetapi juga kenapa kita gagal mengesan dan mencegahnya lebih awal.
The post Sekolah bukan lagi tempat yang selamat? appeared first on Kosmo Online.




