KUALA LUMPUR - UMNO akan memperkasakan keupayaan ahli dalam bidang penerangan digital menerusi Sekolah Digital, termasuk melahirkan lebih ramai "selebriti digital” di peringkat bahagian dan cawangan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha itu akan digerakkan dari peringkat akar umbi bagi memastikan ahli parti memiliki kemahiran menghadapi cabaran penerangan digital, termasuk menangani pelbagai fitnah terhadap parti.
"Saya berharap dengan adanya Sekolah Digital, kita dapat menggerakkan dari peringkat akar umbi ke atas untuk 2026 hingga 2027, iaitu gerakan-gerakan mewujudkan banyak selebriti digital di peringkat UMNO bahagian dan diteruskan di cawangan-cawangan,” katanya pada Majlis Aspirasi Penerangan UMNO Malaysia di sini hari ini.
Pada majlis itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Artificial Intelligence Rakyat Assistance (AIRA), instrumen baharu Penerangan UMNO.
Azalina berkata,AIRA yang kali pertama diwujudkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, merupakan sebuah platform untuk menjelaskan pelbagai isu serta memperkenalkan calon kepada masyarakat dan pengundi, khususnya calon baharu.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, beliau berkata keberkesanan strategi digital berkenaan juga telah terbukti menerusi PRN Johor dan Negeri Sembilan dalam menyebarkan maklumat calon secara lebih efektif semasa tempoh berkempen.
Bagi melatih dan memantapkan kemahiran jentera di peringkat bahagian, beliau berkata siri jelajah penerangan akan digerakkan ke seluruh negara, bermula di Melaka pada 18 Sept ini.
Dalam pada itu, Azalina berkata, UMNO akan memfokuskan pendekatan kempennya ke arah yang lebih berorientasikan digital dan teknologi bagi menghadapi cabaran politik semasa serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata penyesuaian itu penting berikutan trend komunikasi politik semasa yang memerlukan penyampaian maklumat yang lebih padat, pantas dan berfokus terus kepada pengundi.
"Suatu parti politik tidak boleh berjaya kalau kita mengecilkan peranan platform digital, kita mahu memastikan jentera kita banyak selari dengan platform digital. Anda memiliki telefon bimbit, jadi itu medium untuk berkomunikasi hari ini,” katanya. - Bernama






