
KUALA LUMPUR – Jentera UMNO termasuk Pemuda, Puteri dan Wanita perlu bergerak seiring perkembangan teknologi komunikasi bagi memastikan parti itu kekal relevan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, parti itu yang mempunyai pendekatan tradisional perlu mula menyesuaikan gerak kerja dengan penggunaan platform digital.
“Kita merupakan parti yang sangat tradisional. Sekarang, dengan adanya pendekatan dan keahlian baharu, kita mahu memastikan jentera parti bergerak selari dengan platform digital,” katanya pada sidang akhbar di Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia semalam.
Beliau berkata, komunikasi politik ketika ini tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah konvensional seperti ceramah semata-mata, sebaliknya perlu memanfaatkan telefon bimbit yang menjadi antara medium komunikasi utama masyarakat.
Menurutnya, kepentingan pendekatan digital itu turut dilihat menerusi pengalaman UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, khususnya bagi memperkenalkan calon baharu kepada pengundi di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Katanya, pendekatan sama yang digunakan di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan hasil yang baik dan perlu diteruskan oleh calon selepas memenangi pilihan raya bagi mengendalikan pusat khidmat serta melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“UMNO akan memberikan tumpuan terhadap latihan kepada jentera penerangan selain mengadakan siri jelajah ke negeri-negeri yang dimulakan di Melaka,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Jentera UMNO perlu celik digital jika mahu ‘tawan’ PRN Melaka appeared first on Kosmo Online.






